JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi seorang pengantin lelaki secara tidak sengaja memecahkan meja kaca yang digunakan semasa upacara akad nikah, lapor laman berita Suara.com semalam.
Berdasarkan video yang dimuat naik dalam akaun Instagram @undercover.id, sesi akad nikah itu pada awalnya kelihatan tenang dan lancar.
Namun, selepas pengantin lelaki selesai membaca lafaz kabul sambil memegang tangan wali, dia menghempaskan tangannya ke atas meja kaca dengan bersemangat.
Hentakan itu menyebabkan kaca pada meja tersebut pecah dan mengejutkan orang ramai.
Pengantin lelaki tersebut bagaimanapun kelihatan ketawa selepas acara itu selesai.
Video itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Selepas akad nikah suruh dia ganti kaca meja itu,” kata seorang netizen.
“Mas kahwin 300,000 rupiah (RM90), ganti meja 650,000 rupiah (RM196),” komen netizen lain secara berseloroh. – Agensi