PETALING JAYA – Hasrat Terengganu untuk meraih kemenangan kedua ke atas PDRM FC musim ini tidak terlaksana apabila terikat tanpa jaringan pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.
Selepas cipta kejutan ke atas Selangor dan Sabah, bulan lalu, keputusan seri kali ini jadi satu lagi pencapaian baik buat The Cops, sekurang-kurangnya mampu mencuri mata daripada pasukan berprofil tinggi.
Terdahulu, PDRM FC seakan kekal dengan identitinya apabila lebih tertumpu kepada tugasan bertahan untuk membiarkan Terengganu lebih banyak menguasai bola.
Kedua-dua pasukan turut mencipta beberapa peluang sebaliknya ia gagal disudahkan dengan baik untuk menyaksikan 45 minit pertama berakhir tanpa jaringan.
Babak kedua bersambung sedikit berbeza, menyaksikan PDRM FC tampil lebih berbeza apabila mula bermain secara terbuka dan saling bertukar hantaran pendek setiap kali memiliki peluang untuk melancarkan serangan.
Walaupun tempo permainan pada 10 minit terakhir bertambah rancak namun tiada sebarang gol mampu dihasilkan.
Dalam perlawanan lain, Perak memastikan kemenangan ketiga musim ini selepas menewaskan Kuching City 2-1 di Stadium Negeri.
Pelawat terlebih dulu berada di depan seawal minit ke-13 menerusi Luciano Guaycochea namun ia kembali disamakan oleh Abu Kamara pada minit ke-32.
Bagaimanapun, keputusan Yusri Che Lah memasukkan Seo Seonung jadi percaturan berbaloi apabila import dari Korea Selatan itu menyumbangkan gol kemenangan pada minit ke-80. – KOSMO! ONLINE