fbpx

Cadang gaji minimum lulusan TVET RM2,000 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (kanan) dan Anwar (kiri)

SEBERANG PERAI – Kerajaan perlu melaksanakan dasar baharu yang menggariskan gaji minimum RM2,000 sebulan untuk graduan kelulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, adalah tidak adil apabila graduan TVET menerima gaji minimum RM1,500 seperti pekerja lepasan sekolah lain.

“Kalau lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) masuk ke bidang industri diberikan gaji minimum RM1,500, dasar majikan seluruh negara juga tetapkan jumlah sama untuk graduan TVET.

“Ini tidak adil buat graduan lepasan TVET, justeru niat saya mahu minta satu sahaja. Perdana Menteri kena beri dasar baru kelulusan keluaran TVET kena gaji minimum RM2,000,” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih Desa-Sesi Bual Bicara Komuniti TVET di Bertam, Kepala Batas, di sini hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kebolehpasaran graduan TVET yang meningkat kepada 92.5 peratus pada tahun ini membuktikan insititusi tersebut bukan peluang pendidikan kedua.

“TVET seharusnya dijadikan keutamaan malah pelajar yang mungkin tidak berprestasi tinggi dalam bidang akademik boleh memilih institusi TVET sebagai platform untuk menyambung pengajian.

“Justeru, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama 10 kementerian lain akan melaksanakan dasar baharu bagi memastikan TVET terus maju bawah pimpinan Kerajaan Madani,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI