fbpx

Teliti semula prosedur untuk mangsa rogol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy (dua dari kiri) melakukan simbolik pelepasan peserta 'Sepeda Amal Borneo 2023' yang akan berbasikal sejauh 700 kilometer dari Kuching ke Bintulu, di sini, hari ini.

KUCHING – Prosedur sedia ada untuk mangsa rogol perlu diteliti semula dengan membenarkan mereka membuat pemeriksaan perubatan terlebih dahulu sebelum melaporkan kepada polis.

Ia kerana berdasarkan prosedur sedia ada Kementerian Kesihatan (KKM), mangsa rogol perlu membuat laporan polis terlebih dahulu dalam tempoh 72 jam sebelum pemeriksaan perubatan dijalankan.

Menyarankan perkara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, prosedur itu perlu diteliti semula kerana mungkin ada mangsa yang trauma dan takut membuat laporan polis.

“Saya bukan mahu mencampuri urusan kementerian lain, tetapi sekadar menyarankan penambahbaikan bagi memudahkan mangsa. Mungkin ada mangsa rogol yang trauma akan meminta pemeriksaan perubatan tetapi tidak mahu buat laporan polis terlebih dahulu kerana belum bersedia dan malu.

“Selepas itu, terpulanglah kepada mangsa sama ada ingin membuat laporan polis selepas pemeriksaan atau tidak,” katanya ketika ditemui pada program ‘Sepeda Amal Borneo 2023’ yang akan berbasikal sejauh 700 kilometer dari Kuching ke Bintulu, di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan seorang wanita yang tular pada 6 Julai lalu yang mendakwa dinafikan pemeriksaan perubatan Pusat Sehenti Krisis (OSCC) sebuah hospital kerajaan, di sini, kerana tidak membuat laporan polis terlebih dahulu.

Menjelaskan mengenai isu itu, Nancy berkata, ia berlaku akibat salah faham.

“Wanita itu tidak faham apabila diminta membuat laporan polis kerana menganggap perlu pergi ke balai yang agak jauh dari hospital. Pondok polis terletak bersebelahan dengan Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital. Dia mungkin tidak tahu,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Ooi Choo Huck menjelaskan pegawai perubatan bertugas sudah membuat pemeriksaan meliputi pengambilan sejarah kejadian dan pemeriksaan tanda vital.

Bagaimanapun, wanita itu didakwa enggan membuat laporan polis dan tidak membenarkan penilaian selanjutnya dibuat walaupun sudah dinasihati pegawai perubatan bertugas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI