fbpx

Kerajaan Madani wajar hapuskan judi – Mufti Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Asri.

PETALING JAYA – Mufti Perlis, Prof. Dato Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menggesa Kerajaan Perpaduan menghapuskan judi di negara ini sejajar dengan slogan kerajaan Malaysia Madani.

Beliau berkata, perkataan ‘madani’ mungkin diambil dari Madinah Nabawiyyah iaitu Bandar Nabi S.A.W atau sekadar perkataan madinah yang dalam Bahasa Arab bermaksud bandar.

“Dalam ertikata lagi, nilai-nilai ketamadunan yang hendak diangkat dalam slogan tersebut. Apapun, kedua-dua tafsiran itu menuntut supaya judi dihapuskan.

“Jika ia bukan sekadar slogan politik, saya mengharapkan kerajaan semasa mengambil langkah-langkah ke arah penegakan makruf dan pencegahan mungkar secara yang lebih komprehensif.

“Malaysia Madani akan lebih bererti jika usaha ke arah penghapusan judi itu dimasukkan dalam agendanya,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Mohd. Asri berkata, usaha menghapuskan judi di Malaysia tidak dituntut dalam masa singka, tetapi usaha ke arah itu perlu dilakukan secara berterusan.

“Jika itu berlaku, kita bersama menyokong hasrat itu,” katanya.

Terdahulu, beliau yang turut dikenali sebagai Dr. Maza berkata, banyak kajian antarabangsa dibuat tentang kesan buruk judi terhadap individu dan masyarakat.

Kata beliau, antara kesan mendalam yang akan terbentuk dalam diri mereka yang terlibat dengan judi ialah kehendak untuk untung sekalipun atas kerugian dan penderitaan orang lain.

“Kerana itu tidak hairan kita mendengar kisah mereka ketagihan judi sanggup melakukan pelbagai perkara sekalipun menganiaya ibu bapa dan keluarga demi untuk berjudi.

“Ancaman ketagihan judi sebenarnya tidak kurang bahayanya dari ketagihan jenis-jenis dadah. katanya lagi.

Tambah beliau, ada pihak berpandangan judi menghasilkan keuntungan cukai untuk negara, tetapi Allah S.W.T menegaskan itu hanya sedikit dibandingkan bencana dan mudarat yang akan berlaku.

Kata beliau, judi apabila berleluasa dalam masyarakat, jiwa-jiwa yang terlibat dengan judi akan membentuk satu akhlak buruk yang bercambah dalam masyarakat.

Ujar beliau, tiada kaum atau agama yang menderita kerana tiada aktiviti perjudian dan hanya pemikiran yang rosak sahaja menganggap tanpa judi kehidupan tidak berjalan dengan sempurna.

“Saya tidak boleh terbayang mana-mana penganut agama boleh tampil mempertahankan judi atas alasan agama kami menyukai judi. Saya tidak fikir ada agama yang konyol seperti itu.

“Saya juga tidak boleh terbayang ada ahli politik atau wakil kaum yang akan berkata ‘bangsa kami mencintai judi’ atau ‘judi budaya hidup kami.

“Apakah ertinya kita mendakwa sebagai masyarakat muslim tiba-tiba ada pusat perjudian berlesen secara nyata ada di tempat kita.

“Lebih sedih ada yang sibuk dengan khilaf mazhab dan khilaf cabang perbahasan akidah, tetapi mendiamkan diri dengan pusat judi besar yang ada di negerinya. Mufti-mufti dan golongan agama hendaklah bersuara dalam hal ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI