fbpx

JDT pecah rekod jaringan di Liga Super

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERGSON Da Silva (tengah) meledak satu gol ketika membantu JDT membelasah Kelantan 5-0 pada aksi Liga Super di Kota Bharu kelmarin.

Oleh MUSTAQIM MOHAMED

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak tempatan apabila berjaya memecahkan rekod jaringan Liga Super dengan meledak 64 gol menerusi 17 kemenangan berturut-turut setakat ini.

Kemenangan 5-0 ke atas Kelantan FC dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin menjadi pelengkap kepada Harimau Selatan untuk mencipta rekod baharu itu.

Musim lalu, skuad Harimau Selatan itu berjaya merekodkan sebanyak 61 jaringan dalam 22 perlawanan dalam saingan Liga Super.

Pengendalinya, Esteban Solari berkata, kejayaan itu cukup menggembirakan dan pujian harus diberikan kepada barisan pemain atas prestasi terbaik dipersembahkan pada setiap perlawanan.

“Kelab ini sentiasa memecahkan rekod, tetapi saya mahu mengucapkan tahniah kepada barisan pemain atas kerja keras, memberi persembahan terbaik dan menjaringkan gol.

“Mereka (pemain) sentiasa mahu meningkatkan prestasi. Ia tidak akan terhenti di sini dan mereka akan terus memecahkan rekod kerana sentiasa mahu beraksi pada tahap terbaik,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan malam kelmarin.

Mengulas mengenai tindakan merehatkan beberapa pemain utama semasa JDT membelasah Kelantan FC 5-0 dalam perlawanan itu, Solari menjelaskan ia merupakan salah satu langkah persediaan bagi perlawanan akhir Piala FA nanti.

Katanya, beliau mengambil keputusan untuk melakukan penggiliran pemain untuk memberi ruang rehat kepada pemain-pemain utama sebelum berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City) di pentas akhir nanti.

“Langkah itu kerana mereka dapat ruang rehat selain memberi masa perlawanan kepada pemain-pemain yang menyerlah dalam latihan, tetapi kurang mendapat peluang untuk beraksi dalam perlawanan sebenar.

“Hari ini (kelmarin) pemain-pemain yang diturunkan telah membuktikan mereka berhak untuk mendapat tempat dalam pasukan dan turut memainkan peranan penting. Mereka sentiasa mahu kami menjadi lebih baik dan ia cukup menggembirakan saya,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Solari mengakui gembira dengan kemenangan 5-0 ke atas The Red Warriors dan menganggap ia satu keputusan yang adil bagi kedua-dua pasukan.

“Berbanding perlawanan menentang Negeri Sembilan FC, saya lebih berpuas hati dengan kemenangan ini. Kami turun dengan mentaliti yang betul. Pemain-pemain juga berada dalam keadaan terbaik,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI