PETALING JAYA – Gara-gara sering bermain telefon pintar sehingga enggan mandi serta membaca buku, sepasang ibu bapa mengambil inisiatif membawa anak mereka ke Muzium Penjara Malaysia sebagai pengajaran.
“Mandi tak nak, baca buku tak nak, malam-malam tidur lambat main telefon sampai pukul 1 pagi. Kita rotan macam ini, tiga kali sebatan dekat bontot, seluar tak pakai,” jelas pegawai penjara sebelum menunjukkan demonstrasi sebatan.
Menerusi klip video yang dimuat naik NakAyuqa, memaparkan gelagat anak saudaranya itu ketika dibawa ke sebuah Muzium Penjara Malaysia, Melaka.
“Insaf sekejap member. Dah dua hari tak main telefon,” tulisnya dalam video terbabit.
Namun, lebih menghiburkan apabila pemilik akaun serta ibu bapa kanak-kanak terbabit tidak dapat menahan ketawa setelah melihat reaksi ketakutan kanak-kanak lelaki berkenaan sebelum menangis di pangkuan bapanya.
Turut terhibur melihat video berkenaan, rata-rata penonton berpendapat ia merupakan tindakan yang bagus bagi memberi pengajaran kepada anak-anak sekarang yang gemar bermain gajet.
“Benda ni bagus tunjuk di sekolah-sekolah tadika. Biar budak tak menghadap telefon lepas ni,” komen Apaisey.
“Alhamdulillah, lepas bagi tengok video ni anak saya terus tak tengok telefon,” ujar Fais Tj.
“Pegawai pun dengan misai macam tu. Memang goyang la budak tu,” kata Fai Sayang Maslan. – KOSMO! ONLINE.