fbpx

HAWA desak kerajaan teliti semula pindaan mudaratkan kanak-kanak terbuang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahrizat Abdul Jalil

PETALING JAYA – Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) menyambut baik usaha kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan golongan ibu mendapat hak sama rata mewariskan kerakyatan kepada anak secara automatik tanpa dihalang status perkahwinan dengan rakyat bukan wargenegara atau di mana anak dilahirkan.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pihaknya meminta kerajaan meneliti beberapa cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dilihat bertentangan dengan prinsip keadilan serta boleh memudaratkan kanak-kanak yang mana ibu bapa atau ahli keluarga mereka tidak diketahui dan tidak dapat dijejaki.

“HAWA menyeru kerajaan tidak menangguhkan proses pindaan untuk membolehkan ibu-ibu Malaysia mendapat hak sama rata untuk mewarisi kerakyatan Malaysia kepada anak masing-masing. HAWA mengucapkan terima kasih atas usaha kerajaan.

“HAWA juga mendesak kerajaan untuk kembali ke meja perbincangan dan rundingan bersama pemegang-pemegang taruh berkenaan beberapa cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang mungkin akan mengakibatkan kehilangan perlindungan sedia ada kepada golongan rentan terutama kanak-kanak terbuang.

“Kajilah semula dengan lebih mendalam. Dapatkan maklum balas dan pandangan yang holistik daripada pemegang-pemegang taruh yang cukup dekat dengan isu ini sebelum memutuskan langkah seterusnya.” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahrizat berkata, usaha kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan kaum ibu di Malaysia mendapat hak sama rata mewariskan kerakyatan kepada anak masing-masing antara lain supaya akses kanak-kanak itu kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan perlindungan lain terjamin.

Terdahulu, Unit Komunikasi Strategik HAWA memaklumkan, HAWA melalui kumpulan fokus HAWAHak (Perundangan dan Polisi) pada 14 Julai lalu menganjurkan ”Sesi Perkongsian Minda Pemegang Taruh : Cadangan Pindaan Perlembagaan Berkenaan Kewarganegaraan” di ibu negara.

Sesi itu melibatkan maklum balas serta perbincangan dengan lebih 10 badan bukan kerajaan (NGO), pakar perlembagaan, wakil Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM dan Wanita UMNO.

Dalam sesi yang berlangsung lebih tiga jam itu, wakil-wakil NGO turut berkongsi pandangan berhubung cadangan pindaan Perlembagaan yang dilihat terkebelakang dan boleh memberi mudarat kepada golongan terlibat terutama kanak-kanak. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI