LONDON – Chelsea akan terus mengikuti perkembangan semasa bintang Paris Saint-Germain, Neymar dan bersedia untuk berbelanja besar bagi membawa masuk pemain Brazil itu ke Stamford Bridge.
Pemain berusia 31 tahun ini dilaporkan sedang mempertimbangkan masa depannya di Parc des Princes, namun kehadiran Enrique bagi menggantikan Christophe Galtier mungkin akan mengubah keputusannya memandangkan kedua-duanya pernah bekerjasama ketika di Barcelona.
The Blues juga sedang menanti kata putus daripada Neymar sama akan mahu kekal di Paris ataupun sebaliknya, namun Chelsea akan terus mengintai peluang bagi membawanya masuk ke Stamford Bridge.
Dalam masa sama, beban gaji yang besar dan rekod kecederaan juga mungkin menjadi pertimbangan pengurusan tertinggi PSG untuk melepaskan Neymar terutamanya bagi mematuhi Peraturan Kewangan Adil (FFP).
Neymar masih memiliki kontrak dengan PSG sehingga 2027, namun kecederaan buku lali menyaksikannya tersisih daripada pasukan sejak Februari lalu, tetapi kini sudah pun kembali jalani latihan pramusim.
Jika Chelsea buat bidaan, ia dijangka akan menyaksikan ‘reunion’ Neymar dan Mauricio Pochettino yang pernah melatih pemain itu ketika bersama PSG, menyaksikan kedua-dua figura ini bantu kelab memenangi Piala Perancis dan Ligue 1. – AGENSI