fbpx

Buku lewat pulang lebih 100 tahun ditemui semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Buku berkenaan dipinjam daripada Perpustakaan Awam Percuma New Bedford, Amerika Syarikat pada 1904.

SEBUAH buku yang dipinjam daripada Perpustakaan Awam Percuma New Bedford, Amerika Syarikat telah ditemui selepas lebih seabad tidak dipulangkan.

Buku berjudul An Elementary Treatise on Electricity karya James Clerk Maxwell itu ditemui oleh seorang pustakawan di Perpustakaan Massachusetts semasa menyemak buku-buku sumbangan yang dihantar ke gedung ilmu itu.

Naskhah saintifik yang dipinjam pada 14 Februari 1904 itu difahamkan sudah melebihi tempoh pemulangan selama 119 tahun.

Pustakawan yang juga merupakan kurator buku di Perpustakaan Universiti West Virginia, Stewart Plein berkata, buku itu dikatakan telah menjadi sebahagian daripada koleksi di Perpustakaan Percuma New Bedford.

“Saya membuat semakan tentang buku tersebut dan terdapat cop tarikh pinjam.

“Namun, tiada pada ruang pemulangan dan ini jelas menunjukkan ia masih belum dipulangkan.

“Bagaimanapun, buku ini masih berada dalam kondisi baik dan dijaga rapi oleh pihak-pihak yang memilikinya,” katanya yang berasal dari Virginia Barat.

Tambahnya, susulan penemuan itu, dia menghubungi rakannya yang merupakan pustakawan koleksi khas di New Bedford, Jodi Goodman.

Untuk makluman, buku An Elementary Treatise on Electricity pertama kali diterbitkan pada tahun 1881.

Dua tahun selepas kematian Maxwell pada 1879. Risalah itu diterbitkan ketika dunia masih berusaha memahami kemungkinan menggunakan tenaga elektrik.

Pada tahun 1880, Thomas Edison menerima paten bersejarah yang merangkumi prinsip lampu pijarnya.

Pada kali terakhir buku itu dipinjamkan dari New Bedford, Edison sedang bersiap untuk ‘Siri Dunia’ kedua era modennya.

Naskhah An Elementary Treatise on Electricity diterbitkan pada 1881

Ketika itu juga, penyandang Presiden Parti Republikan, Theodore Roosevelt pula berada di landasan untuk memenangi penggal baharu.

Wilbur dan Orville Wright pula telah menjalankan penerbangan kapal terbang pertama mereka hanya setahun sebelum itu.

Sementara New York City sedang meraikan laluan kereta bawah tanah pertamanya.

Sementara itu, Pengarah Perpustakaan Awam New Bedford, Olivia Melo memberitahu, tempoh lewat pulang buku melebihi satu abad merupakan perkara yang jarang berlaku.

Katanya, selepas menerima semula buku itu, dia kagum melihat naskhah tersebut masih berada dalam keadaan baik dan percaya ia dijaga dengan rapi.

“Seseorang jelas menyimpannya di rak buku yang bagus.

“Ini kerana ia berada dalam keadaan baik dan mungkin diwariskan dalam keluarga yang sama.

“Kelewatan memulangkan buku merupakan satu kesalahan yang sering berlaku.

“Perpustakaan kadang-kadang menerima buku sebanyak 10 atau 15 tahun tertunggak, namun jarang sekali mencapai lebih 100 tahun,” katanya.

Tambahnya, penemuan dan pemulangan buku itu adalah bukti ketahanan perkataan yang dicetak.

Katanya, ia berbeza dengan naskhah pengkomputeran dan akses segera kepada jumlah maklumat yang tidak dapat dijangka ketika ini.

“Nilai buku bercetak ini tidak akan hilang dan kekal sehingga kini.
“Hanya dengan memegangnya, anda akan dapat rasa seseorang memiliki buku ini 120 tahun lalu dan membacanya.

“Kini, ia berada di tangan saya,” katanya.

Katanya lagi, buku itu akan kekal bertahan dalam simpanan perpustakaan tersebut untuk seratus tahun lagi.

Ujarnya, naskhah berkenaan sentiasa bernilai kerana ilmu yang terkandung di dalamnya.

Perpustakaan New Bedford mempunyai bayaran lewat AS$5 sen (23 sen) setiap hari. Pada kadar itu, jika seseorang memulangkan buku yang tertunggak selama 119 tahun dia boleh dikenakan bayaran tinggi iaitu melebihi AS$2,100 (RM9,674).

Namun, had yuran lewat perpustakaan mencapai maksimum hanya AS$2 (RM9.20).

Kongsi Melo lagi, salah satu pengajaran daripada penemuan naskhah tersebut adalah jangan terlambat untuk memulangkan buku yang dipinjam daripada perpustakaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI