SEOUL – Pasukan penyelamat di Korea Selatan bertungkus-lumus cuba menyelamatkan mangsa-mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan yang ditenggelami air di dalam sebuah terowong, ketika hujan lebat melanda negara itu selama beberapa hari, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC).
Masih tidak dapat dipastikan jumlah mangsa yang terkandas, namun kira-kira 15 kenderaan dilaporkan berada di dalam terowong bawah tanah sepanjang 430 meter tersebut di Cheongju, wilayah Chungcheong Utara.
Menurut jabatan bomba, terowong di pinggir bandar Osong itu ditenggelami air akibat banjir kilat semalam.
Air naik dengan pantas, menyebabkan pemandu dan penumpang tidak sempat menyelamatkan diri, lapor agensi berita Yonhap.
Lima mayat ditemui daripada sebuah bas yang tenggelam di dalam terowong itu setakat ini, tambah laporan yang sama.
Sementara itu- sekurang-kurangnya 26 orang maut di seluruh negara manakala 10 yang lain masih hilang akibat tanah runtuh dan hujan lebat yang melanda Korea Selatan selama beberapa hari.
Kebanyakan kematian dicatatkan di wilayah pergunungan, Gyeongsang Utara, di mana tanah runtuh memusnahkan rumah-rumah. – AFP/Agensi