LONDON – Arsenal akhirnya melengkapkan perpindahan mendapatkan khidmat tonggak pertahanan Ajax, Jurrien Timber selepas bersetuju dengan harga £40 juta (RM237 juta) termasuk bonus.
Timber, 22, begitu teruja menyertai The Gunners dan memberikan jaminan akan memberikan prestasi terbaik termasuk bermain di tiga posisi berbeza sekiranya diperlukan oleh pengurus Arsenal, Mikel Arteta.
“Saya bertuah kerana saya boleh bermain sebagai pertahanan tengah ataupun bek kanan dan kadang-kadang juga boleh diletakkan di bahagian tengah.
“Saya suka cara Arsenal bermain yang hampir serupa dengan Ajax kerana lebih fokus membina serangan dari belakang. Saya dapat melihat banyak persamaan dan tidak sabar untuk menunjukkan kemampuan saya,” kata Timber.
Timber dijangka mengambil posisi bek kanan daripada Ben White yang mungkin kembali diletakkan sebagai pertahanan tengah sekiranya kecederaan berlaku kepada William Saliba atau Gabriel Magalhaes.
Sementara itu, Arteta menyifatkan kehadiran Timber menambahkan kekuatan dan memberikan lebih pilihan kepadanya untuk mencongak barisan pertahanan terbaik menghadapi kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.
Naib juara ePL musim lalu itu turut mempunyai dua lagi pertahanan tengah iaitu Jakub Kiwior dan Rob Holding selain dua bek kiri, Oleksandr Zinchenko serta Kieran Tierney.
Seorang lagi pertahanan kanan, Takehiro Tomiyasu pula dikatakan bakal dijual disebabkan masalah kecederaan dialaminya menyebabkan dia terlepas kebanyakan saingan musim lalu. – AGENSI