SINGAPURA – Sekurang-kurangnya 54 individu ditipu dalam masa kurang seminggu selepas mereka cuba membeli tiket konsert jelajah Taylor Swift, The Eras Tour di Singapura, lapor laman berita Mothership semalam.
Berdasarkan angka yang dikeluarkan oleh polis Singapura, kerugian mencecah lebih SGD$45,000 (RM154,190).
Penipuan e-dagang termasuk tiket konsert berada di kedudukan lima teratas pada senarai penipuan yang membimbangkan dalam kemas kini mingguan polis kelmarin.
Menurut pihak berkuasa, angka tahun ini menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 522 mangsa penipuan e-dagang dilaporkan setakat 10 Julai lalu.
Jumlah kerugian setakat tahun ini pula mencecah hampir tiga kali ganda berbanding kerugian SGD$175,000 (RM599,629) pada 2022.
Sementara itu, aplikasi Twitter adalah platform paling kerap di mana pengguna menjadi mangsa penipuan tiket konsert Taylor Swift selain Carousell, Xiaohongshu, Telegram dan Facebook.
Swift dijadualkan membuat persembahan selama enam malam di Stadium Nasional Singapura dari 2 hingga 4 Mac dan 7 hingga 9 Mac 2024. – Agensi