fbpx

26 maut dalam banjir, tanah runtuh Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota kecemasan mencari mangsa yang terselamat selepas tanah runtuh melanda sebuah perkampungan kecil di Yecheon, Korea Selatan semalam. - AFP

SEOUL – Kementerian Dalam Negeri Korea Selatan memaklumkan bahawa kejadian banjir dan tanah runtuh di wilayah tengah negara itu telah menyebabkan 26 orang maut dan 10 lagi hilang setakat semalam, manakala hujan dijangka lebih lebat dalam beberapa hari akan datang.

Akhbar New York Times melaporkan, fenomena hujan monsun lebat yang melanda Korea Selatan menyebabkan rumah ditenggelami air, pokok tumbang, perkhidmatan kereta api dan penerbangan dibatalkan serta puluhan ribu penduduk terputus bekalan elektrik. 

Hujan monsun lebat kebiasaannya melanda Korea Selatan pada musim panas dan keadaan bentuk muka bumi yang bergunung-ganang di negara itu menjadikannya mudah terdedah kepada bencana tanah runtuh.

“Jumlah kematian adalah sangat tinggi,” kata seorang pakar dari Institut Penyelidikan Pengurusan Bencana Kebangsaan Korea Selatan, Cheong Tae-sung sambil menambah, terdapat beberapa faktor berlakunya kejadian itu.

Salah satu puncanya adalah hujan yang cenderung tertumpu di kawasan bandar termasuk berhampiran bandar besar seperti Busan dan Seoul dalam beberapa tahun kebelakangan ini. 

Hujan kali ini bagaimanapun lebih tertumpu di kawasan luar bandar seperti wilayah Chungcheong dan Jeolla yang sebahagiannya mungkin lebih terdedah kerana sukar untuk dipantau dan diakses. 

Dalam pada itu, lebih 5,500 penduduk telah berpindah dari rumah mereka sejak Khamis lalu, demikian kenyataan kementerian itu yang menggesa pekerja kecemasan membantu memindahkan penduduk dan melakukan usaha menyelamat. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI