fbpx

210,000 miskin tegar terima RM600 bermula esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA- Lebih 210,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi kategori miskin tegar dalam data e-Kasih bakal menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM600 bermula esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sumbangan itu disifatkan mampu menampung sebahagian perbelanjaan seharian golongan tersebut.

“Kerajaan memperuntukkan hampir RM130 juta di bawah inisiatif Payung Rahmah untuk membantu golongan kurang berkemampuan terutama miskin tegar dalam mendepani cabaran kos sara hidup.

“Pelaksanaan SARA akan dibuat mulai 17 Julai 2023 bagi penerima Semenanjung, manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pula mulai 7 Ogos 2023,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan di sini tadi.

Berdasarkan jadual yang dikeluarkan, penerima di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu akan menerima pembayaran SARA pada Isnin.

Bayaran bagi mereka di Perlis, Perak, Pahang, Melaka dan Johor pula akan dibuat pada 31 Julai 2023.

“Kaedah pelaksanaan SARA di negeri terlibat ialah penerima akan menerima bantuan barangan keperluan asas tanpa tunai (cashless) berjumlah RM100 setiap bulan bagi tempoh enam bulan (Julai-Disember 2023).

“Ia dibuat secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima bagi pembelian di pasar raya atau kedai runcit terpilih seluruh negara,” jelasnya.

Sementara itu, penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan akan mendapat bantuan SARA pada 7 Ogos 2023.

“Untuk itu, bayaran RM600 sekali gus melalui pengkreditan ke akaun bank atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara akan dilaksanakan,” jelasnya.

Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan SARA boleh didapati di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my, manakala maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARA pula boleh dirujuk melalui www.mykasih.com.my. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI