SEMPORNA – Kanak-kanak lelaki ditemui lemas manakala seorang hilang dalam tragedi bot karam di perairan Pulau Sipanggau petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, Nasirin Katibin, 7, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia.
Seorang lagi kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Padli Ambit berusia tujuh tahun masih hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Noorjali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.41 petang.
“Seramai enam anggota dan pegawai bersama sebuah bot Kevlar digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat. Laporan mendapati kejadian berkenaan membabitkan sebuah bot yang dinaiki dua lelaki dewasa dan dua kanak-kanak berusia tujuh tahun karam selepas dipukul ombak,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, dua lelaki iaitu bapa kedua-dua kanak-kanak terbabit Katibin Husni, 28, dan Ampit Gopek, 25, berjaya diselamatkan Pasukan Polis Marin (PPM).
“Bagaimanapun, seorang kanak-kanak terbabit ditemukan lemas seorang lagi masih hilang. Pasukan bomba bersama agensi lain kemudian menjalankan operasi pencarian seluas 3.225 Batu Nautika dari lokasi bot dilaporkan karam,” katanya.
Noorjali berkata, setakat ini mangsa yang hilang masih belum ditemukan dan operasi ditangguhkan pada pukul 4.50 petang semalam.
“Operasi akan disambung pada pagi ini dan sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE