fbpx

Tiga lelaki Myanmar terlibat 15 kes pecah rumah dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

AMPANG JAYA – Tiga lelaki warga Myanmar yang disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah di Taman Cheras Indah, di sini ditahan polis, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, tangkapan tersebut dibuat susulan laporan yang dibuat mangsa berusia 72 tahun, bulan lalu.

Menurutnya, mangsa yang berada di rumah seorang diri menyedari kejadian itu selepas anaknya menerima rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kediaman jiran.

“Rakaman CCTV itu menunjukkan tiga lelaki keluar dari pintu belakang rumah mangsa sambil membawa satu bungkusan berwarna merah.

“Mangsa kemudian mendapati terdapat kesan potong pada grill tingkap dapur dan kunci mangga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Azam berkata, kejadian tersebut menyebabkan beberapa barang kemas milik mangsa hilang dengan anggaran kerugian sebanyak RM5,000.

Susulan laporan itu, katanya, polis berjaya menangkap tiga lelaki warga Myanmar yang dipercayai tidak bekerja di Taman Bukit Teratai di sini, malam kelmarin.

“Siasatan mendapati suspek pertama berusia 30 tahun mempunyai tiga rekod jenayah dan narkotik manakala suspek kedua berusia 31 tahun mempunyai dua rekod jenayah.

“Ujian air kencing ke atas suspek pertama dan ketiga positif dadah jenis amphetamine, methamphetamin dan tetrahydrocannabinol (THC),” ujarnya.

Kata Mohd. Azam, polis turut merampas satu resit emas pajak gadai, dua motosikal jenis Honda EX5 dan Honda Wave, 19 jam tangan, enam telefon bimbit, sebuah kamera, dua beg galas, dua pasang sarung tangan serta beberapa peralatan pecah rumah.

“Ketiga-tiga suspek mengaku terlibat dalam kegiatan jenayah pecah rumah dalam daerah ini melibatkan sebanyak 15 kes. Kesemua supek direman selama tujuh hari bermula Khamis lalu dan kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI