PERTAHANAN import baharu Selangor FC, Safuwan Baharudin berazam untuk menjadi benteng ampuh dalam usaha membantu pasukan kembali melakar kemenangan menjelang perlawanan bertemu Penang FC di Stadium MB Petaling Jaya malam ini.
Sebagai rekod, skuad Gergasi Merah kendalian Tan Cheng Hoe telah mengesahkan kehadiran tonggak import dari Singapura itu selepas menamatkan kontraknya bersama Negeri Sembilan FC awal minggu ini
Ironinya, Safuwan hadir bagaikan ‘sirih pulang ke gagang’ apabila hanya beraksi kurang enam bulan bersama skuad Hobin Jang Hobin selepas berpisah susulan kontraknya bersama Selangor berakhir pada penghujung tahun lalu.
Kata Safuwan, banyak tawaran yang diberikan oleh pasukan lain baru-baru ini tetapi keputusan untuk pulang ke pangkuan Selangor atas saranan keluarga selain mahu bekerja di bawah kendalian Cheng Hoe.
“Saya ada menerima beberapa tawaran dari Liga Thailand tetapi setelah berhubung dengan kedua-dua ibu bapa, mereka menyarankan saya untuk terus berada di Malaysia untuk baki enam bulan terakhir dengan Selangor FC menjadi pilihan.
“Dalam masa yang sama, antara yang menarik minat saya untuk ke sini adalah untuk bekerjasama dengan Cheng Hoe.
“Selain itu, hubungan yang baik dengan rakan-rakan sepasukan sebelum ini juga antara faktor utama untuk saya memilih menyertai Selangor semula.
“Misi saya kali ini adalah jelas untuk memperkuatkan lagi pasukan tidak kira diletakkan selaku pertahanan, pemain tengah mahupun penyerang,” kata pemain berusia 32 tahun itu.
Safuwan dianggap sebagai salah seorang pemain import berpengaruh selepas hampir lapan tahun bermastautin di Malaysia apabila mewakili kelab Polis DiRaja Malaysia (2016-2019), Sri Pahang (2018-2019), Selangor (2020-2022) dan NSFC musim ini.