fbpx

K2

Rona neutral serlah konsep moden kontemporari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONSEP moden kontemporari tertumpu pada warna ‘beige’ dan kelabu bagi mewujudkan suasana damai.

BAGI golongan suri rumah, kediaman yang selesa dan mengikut cita rasa sememangnya cukup penting.

Ini memandangkan ruangan tersebut menjadi ‘tempat kerja’ mereka pada setiap hari.

Pemilihan konsep dan warna yang betul sememangnya terbukti mampu mempengaruhi ‘mood’ seseorang.

Bagi Aina Salsabila Aznan, 33, atau lebih mesra disapa sebagai Aina, minat terhadap seni menghias menjadikannya cukup teruja untuk menterjemah idea dekorasi pada kediaman jenis teres satu tingkat yang dihuninya sejak empat bulan lalu itu.

Sama seperti kebanyakan pemilik kediaman lain, Aina dan suami, Badrul Hisham Razali, 36, banyak mengambil inspirasi hiasan dalaman daripada internet seperti aplikasi Pinterest serta Instagram, @ighousetourmalaysia.

Aina dan suami kemudiannya akan mengambil idea yang ada sebagai inspirasi, sebelum diterjemahkan pada kediaman mengikut cita rasa dan bajet.

“Konsep hiasan rumah saya adalah moden kontemporari yang lebih tertumpu kepada pemilihan warna-warna neutral.

“Antaranya seperti ‘beige’ dan kelabu bagi mewujudkan suasana damai.

“Saya suka melihat kediaman-kediaman orang Barat kerana mereka cukup bijak menggunakan warna neutral pada kediaman,” katanya.

Saat kaki melangkah masuk ke kediaman itu, rona kelabu lembut menerpa anak mata, sekali gus mencipta suasana penuh damai.

Warna kelabu lembut itu diterapkan pada sofa rekaan moden di sudut kiri ruang tamu yang diserikan dengan hamparan permaidani rona sama bagi menyuntik kesenadaan.

MEJA makan kayu sering menjadi pilihan kerana kelihatan elegan, selamat dan sesuai dengan pelbagai konsep kediaman.

Dinding rona sama pada ruangan tersebut pula dibiar polos tanpa corak bagi memberikan efek kediaman yang lebih luas.

Konsep minimalis moden diterjemah dengan baik oleh Aina dan suami pada ruangan tersebut apabila ia dihias ringkas serta tidak terlalu sarat dengan perabot.

Menjengah ke ruang makan keluarga, Aina meletakkan meja makan berbentuk bujur berwarna coklat pekat dengan padanan kerusi makan rona hitam.

Meja makan kayu sering menjadi pilihan pemilik rumah kerana nampak elegan, cukup selamat dan sesuai dengan hampir semua konsep kediaman.

Bagi ruangan dapur yang dipisahkan oleh satu pintu kaca pula, Aina memilih putih sebagai rona utamanya.

“Saya memang mengidamkan dapur serba putih dan syukur kerana ia akhirnya menjadi kenyataan.

“Ia juga merupakan ruang paling saya suka pada kediaman ini.

“Maklumlah, saya merupakan seorang suri rumah dan ruangan itu menjadi ‘nadi’ kepada kediaman ini,” katanya.

Aina juga mengakui banyak menghabiskan masa di ruangan tersebut, lebih-lebih lagi pada hari bekerja.

Bagi menaikkan seri kediaman, Aina meletakkan beberapa unit pokok di ruang kediamannya seperti bersebelahan kabinet televisyen dan meja makan.

Katanya, biarpun ringkas, namun pokok-pokok tersebut menjadikan kediaman tampak lebih segar.

Tidak lokek berkongsi, Aina berkata, dia menghabiskan sekitar RM35,000 untuk menghias kediaman miliknya itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI