BANGKOK – Seorang lelaki yang diberi gelaran Raja Tedung Selar mengumumkan bersara daripada melakukan aksi mencium ular tedung berbisa yang dia lakukan selama 28 tahun, lapor laman berita Thaiger.
Keputusan dibuat selepas isteri Thongkum Chaibuddee, 62, meluahkan kebimbangan mengenai keselamatannya memandangkan dia sudah berusia.
Rumah Thongkum terletak di Kampung Khok Sa-Nga, dalam wilayah Khon Kaen adalah satu-satunya kampung ular tedung di Thailand.
Selama bertahun-tahun, dia mengumpul pelbagai nota, foto dan pensijilan termasuk dua sijil Guinness World Records.
Persembahan dilakukan Thongkum termasuk mencium ular dengan lancar dan selamat.
Thongkum memutuskan untuk bersara kerana sudah berasa puas bekerja.
Dia tidak perlu lagi membayar ansuran keretanya dan selepas isterinya menelefon untuk menyuarakan kebimbangan semasa dia sedang bekerja, Thongkum memutuskan untuk bersara.
Dia merancang menjalani kehidupan yang aman bersama keluarga selepas bersara dan membantu isterinya yang berusia 58 tahun menjual barangan majlis.
Pada 2006, Guinness World Records mengiktiraf Thongkum kerana mencium 19 ekor ular tedung. Pada 2010, dia mencipta satu lagi rekod dengan mencium 34 ekor ular tedung dalam masa tiga minit di Rom, Itali. – Agensi