SUNGAI PETANI – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu pihaknya telah menerima senarai calon daripada pengerusi badan perhubungan enam negeri yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, senarai tersebut akan dimuktamadkan dalam masa terdekat sebelum diumumkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 21 Julai ini.
“Ia (senarai calon) dikemukakan oleh pengerusi perhubungan negeri dari enam negeri. Mereka mengemukakan tiga nama bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita tandingi.
“Kita akan muktamadkan, hari pengumuman (calon) dan watikah kepada calon itu akan kita adakan pada 21 Julai, malam di PWTC,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perjumpaan Jentera UMNO/BN Bersama Pengerusi BN di MRSM Merbok, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, mengulas tentang kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar bahawa gabungan itu mampu meraih 16 kerusi pada PRN itu, Ahmad Zahid sebaliknya mengingatkan agar seluruh jenteranya supaya tidak leka dan bekerja keras menawan hati pengundi sehingga saat akhir sebelum hari mengundi.
“Saya fikir sebelum kita berusaha sehingga ke saat akhir pada hari mengundi kita jangan bersifat mendahului hukum Allah. Walaupun saya tidak ada perbezaan pendapat dengan beliau (Mahfuz) atau mana-mana pemimpin tetapi eloklah, yang penting kita bekerja keras dahulu.
“Baru kita boleh memberitahu bahawa kita berada di garis paling hadapan untuk memenangi mana-mana pilihan raya DUN di enam negeri ini terutamanya di Kedah,” katanya.
Menyentuh tentang perjumpaan itu, katanya, gerak kerja jentera UMNO untuk pilihan raya itu akan dimulakan di semua peringkat sehingga ke peringkat DUN. – KOSMO! ONLINE