fbpx

PM umum RM150 juta selenggara, naik taraf infrastruktur PDRM, Jabatan Penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar beramah mesra dengan Veteran Komando VAT69 pada Program Malaysia Madani bersama Warga Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam PDRM di Batalion 2 PGA Kulim, hari ini.

KULIM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan berjumlah RM150 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Penjara di seluruh negara.

Kata beliau, ia merupakan tambahan kepada peruntukan pembangunan (DE) berjumlah RM200 juta yang dibentangkan dalam Belanjawan 2023 bagi penyelenggaraan kuarters beberapa agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurutnya, beliau pada mulanya merancang untuk menangguhkan peruntukan tersebut pada tahun hadapan, namun mengubah fikiran untuk menyegerakannya setelah menilai keadaan fasiliti serta infrastruktur terlibat.

“Bagi kerja-kerja penyelenggaraan kuarters PDRM termasuk ibu pejabat, saya luluskan peruntukan berjumlah RM50 juta. Selain itu, sebanyak RM45 juta lagi diluluskan khusus untuk penambahan dan naik taraf, serta perolehan peralatan 117 pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Saya luluskan RM45 juta bagi PGA itu segera. Apabila saya kata segera, maknanya hari Isnin ini wang mesti disalurkan dan saya akan bincang dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Ruji Ubi bagi mempercepatkan projek tersebut.

“Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) itu pula tempat orang bertarung nyawa tetapi pejabat sementaranya hanya rumah kedai dan berselerak, jadi saya luluskan RM40 juta untuk infrastruktur dan fasiliti berkaitan ESSCOM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Malaysia Madani Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam PDRM di Dewan Serbaguna Batalion 2, PGA Kulim di sini, hari ini.

Kata Anwar, beliau juga meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi kerja-kerja pembaikan kuarters dan kemudahan Jabatan Penjara.

Mengulas mengenai infrastruktur serta kemudahan yang teruk dan terbiar selama puluhan tahun, katanya, anggota keselamatan harus bertanya mengapa perkara sebegitu boleh berlaku.

“Apa salahnya dan di mana kelemahannya? Adakah benar kita tiada wang atau ada kelemahan besar, ketirisan, penyelewengan dan rasuah berbilion ringgit?

“Saudara diminta mempertahankan negara dan tak harus campur urusan politik kepartian tetapi saudara juga adalah warganegara yang harus kritis dan tahu mengenai perkara ini. Jangan hanya gunakan slogan seperti ‘Hidup Melayu’ dan ‘Hidup Islam’ tetapi tiada perubahan sama sekali dalam sistem di negara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI