PENYERTAAN Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou, China pada September depan berkemungkinan jumlahnya lebih rendah selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memperketatkan proses dan syarat kelayakan penyertaan ke temasya sukan empat tahun sekali tersebut.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam kenyataannya memberitahu, seramai 301 atlet negara dipertimbangkan untuk mengibar cabaran negara ke Hangzhou selepas melalui satu proses saringan ketat dengan menetapkan setiap atlet perlu melepasi tiga kategori sebelum dibenarkan berlepas ke bumi China.
Menurutnya, daripada jumlah itu, jumlah kontinjen negara ke Hangzhou dijangka lebih kecil jika dibandingkan edisi 2018 (Jakarta-Palembang) di mana Malaysia menghantar seramai 447 atlet yang juga penglibatan terbesar Malaysia ke Sukan Asia.
“Kontinjen besar kali ini disebabkan seramai 130 daripada 301 atau 43 peratus orang atlet adalah melibatkan sukan berpasukan. Jumlah penyertaan sukan berpasukan berbanding edisi di Doha 2006 (tiga sukan) telah bertambah di Hangzhou 2022 (tujuh sukan).
“MOM telah memperketatkan syarat kelayakan sekurang-kurangnya tempat ke-8 Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 untuk dijadikan asas pemilihan kontinjen negara ke Sukan Asia Hangzhou berbanding pemilihan ke Sukan Asia Jakarta 2018 yang menggunakan kriteria tempat ke-16 Sukan Asia Incheon 2014.
“Selain Kategori A yang dikhaskan untuk atlet layak secara merit iaitu menduduki empat tangga teratas di ranking Asia, Jawatankuasa Pemilihan MOM menyaring Kategori B dengan membahagikannya kepada dua segmen iaitu B1 dan B2.
“Kategori A, atlet perlu sekurang-kurangnya menyamai kedudukan ke-4 Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018. Kategori B1, menyamai kedudukan ke-5/6 edisi 2018. Bagi Kategori B2, atlet perlu menyamai kedudukan ke-7/8 edisi 2018,” kata Norza semalam.
Pemilihan kontinjen negara dengan syarat ketat kelayakan itu telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan MOM yang dipengerusikan Norza dan dianggotai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md. Ramli dan ahli bebas, Zainal Abas pada mesyuarat pertama jawatankuasa, 20 Jun lalu.
Norza menjelaskan, senarai akhir kontinjen akan dimuktamadkan hari ini dengan mengambil kira keputusan terkini Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand, Kejohanan Dunia Akuatik FINA di Fukuoka, Jepun, dan Kejohanan Menembak Trofi Chia Woh di Subang.