KUALA LANGAT – Seorang pekerja kuari maut tertimbus dalam lubang salur semasa melakukan kerja-kerja pemindahan batu kuari di Bandar Saujana Putra, petang tadi.
Mangsa merupakan lelaki warga Indonesia dikenali Mujiono berusia 49 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, seramai lima anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Panglima Garang bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira 5.08 petang.
Katanya, berdasarkan maklumat awal mangsa terjatuh ke dalam lubang salur dan tertumbus ketika melakukan kerja-kerja pemindahan batu kuari.
“Mangsa tertimbus pada kedalaman dianggarkan enam meter.
“Pekerja kuari berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 7 malam melalui lubang salur tersebut dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya di sini hari ini.
Jelas beliau mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE