ALOR SETAR – Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) meminta kerajaan supaya memecahkan monopoli dalam usaha memperbaiki mutu perkhidmatan feri Langkawi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LTA, Zainudin Kadir, pihaknya beranggapan ia merupakan langkah tepat untuk menambah baik perkhidmatan feri ke pulau peranginan tersebut.
“Penubuhan konsortium pengusaha feri sejak tiga tahun lalu hanya mewujudkan monopoli.
“Pecahkan monopoli konsortium untuk mewujudkan persaingan, maka pengusaha feri akan berlumba untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan faedahnya dapat dinikmati oleh orang ramai.
“Saya percaya kerajaan mempunyai kuasa. Dulu situasi seperti ini tidak pernah berlaku, bayangkan daripada 10 kini tinggal lima perjalanan dengan pelbagai alasan diberikan. Sebelum ini masalah selut, tapi saya percaya sudah selesai, namun jadual feri masih tidak berubah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Zainudin menambah, pihaknya tidak menafikan masalah kemerosotan pelancong turut memberi kesan kepada pengusaha hotel tiga bintang ke bawah.
“Contohnya di Kuah, hotel lengang walaupun pada waktu puncak. Kemasukan hanya 30 hingga 45 peratus berbanding sehingga 75 peratus, malah 100 peratus. Bagaimana pengusaha mahu teruskan perniagaan?” soalnya.
Hotel mewah terutama kategori empat bintang ke atas tidak berdepan masalah disebabkan kemasukan pelancong golongan berpendapatan sederhana hingga tinggi dan rakyat asing.
“Kita sasar pelancong sehingga Disember ini seramai 3.5 juta orang. Mungkin sukar dicapai apabila dijangka berlaku penurunan kepada 2.8 juta pelancong,” katanya.