PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman enggan lagi mendengar ‘suara-suara sumbang’ dalam membuat keputusan perihal berkaitan bola sepak dalam usaha membentuk pasukan lebih mantap selepas ini.
Menurut Norizam yang lebih terkenal dengan nama Zamsaham, antara keputusan yang dibuat sendiri adalah melantik jurulatih import baharu dari Argentina, Angel Alfredo Vera pada bulan lalu.
Kata Zamsaham, sebelum ini dirinya asyik mendengar cadangan orang lain bagi membentuk skuad The Red Warriors (TRW) sejak menjadi pemilik pasukan.
“Semua pemain lepas bukan saya pilih. Saya percaya 100 peratus atas semua pilihan yang dicadangkan. Namun, kalah menang saya yang hadap.
“Agak masalah, semua angkat kaki, kali ini biar saya pilih sendiri. Alfredo, ketua jurulatih saya pilih sendiri bukan orang cadangkan.
“Penat dah asyik dengar cakap orang. Kali ini saya decide (putuskan), anda lihat hasilnya baik dan buruk,” kata Zamsaham menerusi laman Facebook miliknya.
Disebabkan prestasi tidak menentu, barisan kejurulatihan TRW telah dirombak beberapa kali musim ini dengan pengendali import, Choi Moon-sik dan Frank Bernhardt selain penolong ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya telah dilepaskan.
Ramai pemain berpengalaman serta tonggak import juga telah berhijrah daripada pasukan Kelantan FC pada musim ini seperti Nuha Marong, Ismaheel Akinade, Afiq Azuan dan Miguel Cifuentes.