fbpx

MAINPP sasar bangun 5,000 unit perumahan atas tanah wakaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zakiyuddin (kanan) pada majlis pelancaran pangsapuri Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah di Seberang Jaya, hari ini.

SEBERANG PERAI – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui anak syarikatnya, Wakaf Pulau Pinang Sdn. Bhd. menyasarkan pembinaan sehingga 5,000 unit perumahan di atas tanah wakaf bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Yang Dipertuanya, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman berkata, sehingga kini, sejumlah 45 lot tanah wakaf dengan keluasan 20.2 hektar melibatkan 405 unit kediaman dan 271 unit premis komersial di Pulau Pinang telah dibangunkan.

“Justeru, MAINPP amat mengharapkan agar semua projek yang sedang dirancang terutama projek pembangunan Wakaf Seetee Aisah Fasa 2 dapat dilaksanakan dengan sempurna dan memenuhi standard serta tempoh masa siap mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran projek pangsapuri Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah sempena Karnival Hartanah UDA Ria di Seberang Jaya, hari ini.

Jelas Ahmad Zakiyuddin, sehingga kini juga, MAINPP mempunyai 1,363 lot tanah wakaf dengan keluasan kira-kira 523.26 hektar tanah secara keseluruhannya dan digunakan untuk membina masjid, tanah perkuburan, sekolah agama, surau dan sebagainya.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, MAINPP merupakan pemegang amanah tunggal untuk harta wakaf di negeri ini dan mengambil masa sehingga hampir 25 tahun melalui proses menuntut semula sebahagian tanah wakaf Seetee Aisah yang berusia lebih 100 tahun di mahkamah sebelum berjaya berbuat demikian pada 23 Julai 2012 yang lalu.

Justeru katanya, dalam menunaikan amanah pewakaf, MAINPP akan memastikan bahawa semua amanah itu dilaksanakan dengan sempurna secara langsung atau tidak langsung kepada penerima manfaat wakaf sebagaimana yang ditentukan.

“Bagi maksud tersebut, sejak 2013 hingga 2022, jumlah hasil yang diperolehi dan dijana melalui pembangunan wakaf Seetee Aisah 1 adalah sebanyak RM6.3 juta.

“Daripada jumlah itu, MAINPP telah membelanjakan sejumlah RM5.5 juta bagi maksud melaksanakan amanah dan menyenggara harta wakaf Seetee Aisah ini sepanjang tempoh tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI