SEGAMAT – Seorang kanak-kanak lelaki penumpang bas maut apabila kenderaan terbabit terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki di Bandar Chaah, di sini, pagi tadi.
Menurut Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labis, Pegawai Bomba Kanan (PBK 11) Hairishah Wahid, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada pukul 7.13 pagi.
“Dalam nahas kira-kira pukul 7.10 pagi ini, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun disahkan meninggal dunia ketika sedang diberikan rawatan di sebuah klinik Kementerian Kesihatan (KKM) berhampiran.
“Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan sebuah bas Hino henti-henti membawa tiga orang penumpang. Bas terbabit dipercayai baru keluar dari simpang berhampiran sebuah lampu isyarat sebelum dirempuh di bahagian tengah oleh sebuah lori tangki Tata dari arah Chaah ke Yong Peng.
“Seorang penumpang wanita berusia 45 mengalami patah kaki kanan yang juga merupakan ibu kepada kanak-kanak yang maut tersebut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Tambah Hairishah, seorang lagi penumpang bas wanita berusia 23 mengalami sakit di bahagian dada serta sesak nafas akibat rempuhan bas sewaktu kemalangan.
“Kedua-dua pemandu treler dan bas masing-masing berusia 65 dan 62 tahun mengalami kecederaan parah di kepala. Mangsa kanak-kanak yang maut berjaya dikeluarkan dari kenderaan mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan KKM tidak lama kemudiannya ketika menerima rawatan,” katanya.
Operasi tersebut dijalankan oleh sepasukan 14 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis dibantu BBP Yong Peng yang dikerahkan ke lokasi kejadian.
Hairishah berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada kira-kira pukul 9.03 pagi. – KOSMO! ONLINE