PETALING JAYA – Kelab Badminton Duo Sparks tampil dengan inisiatif sendiri untuk membantu menguatkan ekosistem badminton tanah air supaya lebih ramai pemain elit dapat dilahirkan pada masa depan.
Memasuki tahun ke-11 sejak ditubuhkan pada 2012, Duo Sparks merasakan sudah tiba masanya fokus terarah kepada latihan prestasi puncak (performance peak) sebagai persediaan awal kepada pemain.
Salah seorang pengasas Duo Sparks, Daphne Ng berpendapat, setiap orang perlu memainkan peranan dengan mempromosikan badminton kepada kanak-kanak supaya menikmati permainan sukan itu.
“Malaysia perlukan ekosistem yang kuat, maksudnya dari lima hingga tujuh tahun. Setiap orang perlu mainkan peranan untuk promosikan badminton supaya kanak-kanak seronok bermain sukan ini.
“Badminton kita seperti piramid, ramai di bawah tetapi di atas sedikit yang menyerlah di peringkat kebangsaan. Kami mahu ‘bina’ lebih ramai pemain supaya ekosistem menjadi silinder dan di atasnya juga ramai,” katanya.
Pemain dapat merasai persediaan hampir sama seperti skuad kebangsaan dengan menyalurkan pengalaman sains sukan di peringkat awal antaranya terapi sukan, pemakanan sukan, persediaan mental dan sebagainya.
Ia tidak sukar kerana Daphne dan seorang lagi pengasas Duo Sparks, Sabrina Chong adalah bekas pemain badminton kebangsaan selain kelab itu kini turut diperkuatkan dengan kehadiran Zhang Hong Yu.
Jurulatih dari China itu berpengalaman luas kerana merupakan bekas jurulatih remaja kebangsaan dan pernah berkhidmat dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) lebih daripada dua dekad.
“Kami lakukan talent scouting dan galakkan mereka kepada lebih banyak sesi latihan dari Selasa hingga Sabtu. Kekuatan dan kelemahan setiap pemain tak sama, malah cara berlatih, bercakap dan motivasi juga berbeza.
“Kami perlu ambil satu langkah demi langkah supaya pemain tidak tersalah latih atau cedera. Mereka belajar asas satu atau dua kali seminggu supaya progres mereka lebih cepat,” jelas Daphne.
Antara pemain sudah merasai hasil latihan bersama Duo Sparks ialah Clarissa San yang mula mendapat bimbingan daripada Daphne dan Sabrina sejak usia tujuh tahun dan kini bersama skuad remaja kebangsaan.
Clarissa turut terpilih mewakili Malaysia ke Kejohanan Badminton Remaja Asia 2023 yang sedang berlangsung di Yogyakarta, Indonesia bergandingan dengan Siti Zulaikha Muhammad Azmi.
“Pengalaman 11 tahun bersama Duo Sparks dan latar belakang dalam sains sukan, kami akan cuba berikan pendedahan dan persiapkan mereka seawal mungkin sama ada mereka berjaya atau tidak,” ujar Daphne. – KOSMO! ONLINE