fbpx

Ditipu perunding konsert RM300,000, Riezman Khuzaimi lapor polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RIEZMAN dakwa ditipu pihak ketiga berhubung Konsert Goyang Asia Koplo Milenia anjurannya yang bakal berlangsung pada September depan.

KUALA LUMPUR – Pelakon Riezman Khuzaimi membuat laporan polis terhadap perunding yang dilantik mengendalikan Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia atas dakwaan menipu membabitkan kerugian mencecah RM300,000.

Pengarah Projek Mission Sight Sdn. Bhd selaku penganjur itu berkata, berikutan masalah dicetuskan, pihak terpaksa menganjakkan tarikh serta menukar lokasi konsert selain meneruskan kerja yang tidak dilunaskan pihak terbabit hingga meningkatkan kos asal.

Katanya, laporan dibuat di Balai Polis Brickfields pada 14 Jun lalu selepas menyedari banyak kepincangan terutama membabitkan bayaran tempahan lokasi konsert serta permohonan permit kemasukan penyanyi Indonesia.

“Banyak perkara tidak diuruskan terutama permit artis negara jiran yang saya sedari selepas ‘naik’ sendiri ke agensi berkaitan dan dimaklumkan tiada sebarang permohonan diajukan.

“Apabila semua perancangan tergendala, saya terpaksa tukar tarikh dan lokasi, namun semua tempat penuh, kecuali Stadium Malawati yang ada kekosongan pada 30 September depan, itu pun selepas ada penganjur lain tarik diri.

“Kerugian hampir RM300,000 kerana jumlah itu sudah diserahkan kepada konsultan, manakala kos turut meningkat kepada RM800,00,” katanya pada majlis pengumuman tarikh dan lokasi baharu Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia, semalam.

Menurut Riezman yang juga penerbit filem, tindakan undang-undang diambil sebagai jalan terakhir selepas perunding terbabit enggan bertemu bagi menyelesaikan masalah, mahu pun mengembalikan wang yang sudah diserahkan.

“Saya mula mengesyaki penipuan pada sidang media pertama konsert pada 22 Mei lalu sebaik mendapati pengelolaan majlis itu mengecewakan dan paling teruk yang pernah saya hadir.

“Antaranya saya menerbangkan empat penyanyi Indonesia, tetapi mereka tidak boleh ditemubual media kerana konsultan tidak memohon kebenaran Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).

“Sudah tentu saya kecewa kerana telah mengamanahkan mereka melaksanakan tugas selepas wang diserahkan, malah membuatkan saya berang apabila bayaran kepada beberapa pihak lain juga tidak dilunaskan.

Riezman bagaimanapun tidak serik, sebaliknya menjadikan isu sebegitu sebagai pengajaran supaya lebih berhati-hati dalam memberikan tanggungjawab kepada mana-mana pihak.

“Kesannya bukan saja kepada saya, malah membabitkan ramai orang, sekaligus saya berharap pihak berkuasa dan perundangan dapat membantu kami selain berharap tiada lagi promoter lain terkena.

“Dari sudut lain, sebelum ini pengetahuan saya kosong tentang penganjuran konsert, namun selepas turun padang sendiri banyak ilmu dikutip dan buatkan saya bersemangat anjur persembahan mega lain selepas ini.

Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia bakal menampilkan Amelina dan Ani Mayuni, manakala penyanyi dari Indonesia pula adalah Siti Badriah, Hesty Klepek Klepek, Fitri Carlina, dan Rheyna Morena.

“Ratu Dangdut, Amelina mengambil alih tempat Baby Shima yang tidak dapat memberikan komitmen selepas berlaku perubahan tarikh.

“Andai konsert ini mendapat sambutan, kami ingin menambah malam kedua yang membabitkan kemunculan Baby Shima dengan harapan kerugian ditipu dapat ditampung” katanya.

Konsert Goyang Asia Koplo Milenia bakal diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 30 September depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI