fbpx

Dekwan terlepas gelaran juara dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RIDZUAN terlepas menaiki podium dalam acara 100m T36 Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 di Stadium Charlety, Paris sebentar tadi. - MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

PETALING JAYA – Hasrat jaguh paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi untuk menamatkan penantian lapan tahun bergelar juara dunia tidak kesampaian.

Ia selepas pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu menamatkan final 100 meter (m) kategori T36 (cerebral palsy) di kedudukan kelima pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 di Paris, Perancis sebentar tadi.

Ridzuan, 35, yang mesra disapa Dekwan, mencatat masa tahunan terbaiknya iaitu 12.24 saat (s) pada perlumbaan di Stadium Charlety itu.

Juara acara itu dimenangi James Turner dari Australia dengan catatan 11.85s, manakala perak diraih pelari Algeria, Mokhtar Didane (11.99s) dan gangsa pula menjadi milik atlet Argentina, Alexis Sebastian Chavez (12.03s).

Ini adalah pentas Kejohanan Dunia ketiga berturut-turut Dekwan tidak berjaya mengulangi pencapaiannya sejak meraih pingat emas edisi 2015 di Doha, Qatar.

Dua penganjuran terdahulu menyaksikan atlet dari Perlis itu meraih pingat perak di London pada 2017 dan gangsa ketika edisi 2019 di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Difahamkan, hanya empat teratas meraih tiket awal ke Sukan Paralimpik Paris 2024 di Perancis yang akan berlangsung 28 Ogos hingga 8 September tahun depan.

Bagaimanapun, impian Dekwan membuat penampilan ketiga Sukan Paralimpik belum tertutup kerana masih mempunyai peluang pada Sukan Para Asia di Hangzhou, China bermula 22 hingga 28 Oktober depan.

Setakat ini, seorang lagi pemenang emas Paralimpik Rio 2016, Muhammad Ziyad Zolkefli sudah melayakkan diri ke Paralimpik Paris 2024 selepas meraih perak lontar peluru F20 Kejohanan Olahraga Para Dunia semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI