LARUT – Beberapa orang pemimpin UMNO yang memegang jawatan di peringkat bahagian dan peringkat tertinggi di beberapa tempat di dalam negara ini mula menyertai Perikatan Nasional (PN) termasuk dalam kalangan bekas pemimpin dan anak muda daripada MIC.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ramai dalam kalangan mereka sudah mula sedar dan mengambil langkah untuk bersama -sama dengan PN khususnya Parti Bersatu.
“Hari ini pertama kali kita mengumumkan tentang kemasukan mereka untuk bersama -sama dengan kita. Kita sedang mencari tempat dan masa yang sesuai untuk membuat pengumuman secara rasmi dan kita akan adakan satu majlis khas berkenaan perkara itu,” katanya selepas menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Ahli Parlimen Larut di Dewan Permai Selama malam tadi.
Tambah Hamzah, ramai bekas pemimpin muda MIC termasuklah P. Punithan yang meletak jawatan Ketua Pemuda MIC Selangor, Jun lalu telah menyertai Parti Bersatu.
“Dengan penyertaan pemuda MIC ini, kita (PN) telah tubuhkan satu jawatankuasa masyarakat India untuk mengenal pasti masalah komuniti yang dihadapi di peringkat akar umbi.
“Jawatankuasa ini akan turun ke bawah berjumpa dengan masyarakat India dan maklumkan spesifik memorandum supaya masyarakat India tahu mereka tidak dipinggirkan oleh mana-mana pihak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE