SEBERANG PERAI – Pangsapuri Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah yang dibangunkan di Seberang Jaya di sini dianggap kediaman paling kondusif dan sesuai untuk pembeli rumah pertama khususnya bagi keluarga kecil atau pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.
Dibangunkan oleh syarikat pemaju hartanah terkemuka, UDA Holdings Berhad (UDA) menerusi anak syarikatnya, UDA Property, pangsapuri 40 tingkat dengan mengandungi 422 unit kediaman dengan dua saiz iaitu 950 dan 1,100 kaki persegi.
Unit rumah yang dilengkapi dengan tiga bilik tidur serta dua bilik mandi itu boleh dimiliki pada harga g bermula daripada RM300,000.
Pengerusi UDA, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini berkata, Amanee Residences terletak bersebelahan Taman Wakaf Seetee Aisah dan merupakan projek pembangunan hartanah wakaf berkeluasan kira-kira 1.18 hektar.
Katanya, projek tersebut dijalankan secara kerjasama strategik iaitu antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dengan UDA Land (North) Sdn. Bhd.
“Terima kasih kepada MAINPP kerana memberikan kepercayaan kepada UDA untuk menerajui projek pembangunan tanah wakaf milik mereka sejak Pusat Komersial Wakaf Seetee Aisah dibangunkan di sini (Seberang Jaya).
“Ia telah menjadi model pusat komersial pertama seumpamanya di negara ini yang melibatkan pembangunan tanah wakaf,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran projek pangsapuri itu yang diadakan sempena Karnival Hartanah UDA Ria selama dua bermula hari ini, di sini.
Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman beserta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd. Salem Kailany.
Pada karnival tersebut, UDA turut menyampaikan hadiah utama ‘UDA Ria 2022’ kepada pemenang iaitu Rosliza Abdul Rahim, 38, yang menerima satu baucar tunai UDA Property bernilai RM100,000 selepas membeli kediaman Areca Terrace Phase 4A yang dibangunkan UDA Land (South) Sdn. Bhd. di Bandar UDA Utama, Johor Bahru, Johor tahun lepas.
Difahamkan, karnival hartanah itu adalah permulaan bagi siri jelajah Karnival Hartanah UDA Ria untuk tahun ini yang dijangka diteruskan di beberapa lokasi lain termasuk Pahang, Johor, Selangor dan Sarawak.
Dalam pada itu, Mohd. Salem memberitahu, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM162 juta, Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah turut menawarkan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, jakuzi, gimnasium, taman permainan, taska dan tempat letak kenderaan berbumbung.
Katanya, turut tersedia adalah dewan serbaguna, bilik pengurusan jenazah selain dilengkapi dengan aspek keselamatan secara berpagar dan berpengawal.
“Kediaman ini terletak di lokasi strategik iaitu tidak jauh dari Lebuh raya Utara-Selatan, Jambatan Pulau Pinang, Lebuh raya Lingkaran Luar Butterworth dan terminal feri Butterworth serta berdekatan dengan hospital, sekolah dan sebagainya.
“Projek ini dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober 2025 ini dan ia akan menjadi nilai tambah kepada pembangunan sedia ada,” ujar beliau.