AMPANG JAYA – Seramai enam lelaki yang memperdaya orang ramai dengan khidmat penurapan jalan selepas menyamar sebagai pekerja pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, suspek yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu menawarkan perkhidmatan tersebut di hadapan rumah pada harga RM500.
“Satu laporan diterima daripada mangsa pada 13 Julai lalu yang mendakwa ditipu suspek. Mangsa ditawarkan perkhidmatan penurapan dan membuat deposit sebanyak RM200.
“Bagaimanapun, tiada sebarang penurapan jalan dilakukan seperti yang dijanjikan suspek,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Ujar Mohd. Azam, susulan laporan tersebut, polis membuat serbuan di sekitar daerah ini dan berjaya menahan enam lelaki.
“Polis percaya ramai mangsa diperdaya dengan modus operandi suspek. Kita minta sesiapa yang pernah menjadi mangsa tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.
“Suspek akan dipohon reman hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE