PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan sebuah bot yang dinaiki seramai 21 nelayan asing warga Vietnam termasuk tekong di lokasi 296.32 kilometer (km) dari Kuala Tok Bali di sini pada Rabu lalu.
Tangkapan itu dijalankan anggota APMM kira-kira pukul 10.26 pagi selepas Kapal Maritim (KM) Amanah mengesan sebuah bot nelayan yang berada dalam keadaan mencurigakan pada jarak 5.5 kilometer.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, tekong dan nelayan bot itu cuba meloloskan diri dengan memecut bot mereka ke arah sempadan Vietnam, namun berjaya ditahan 35 minit kemudian.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati, kesemua nelayan yang warga Vietnam itu berusia dalam lingkungan 17 hingga 55 tahun.
“Bot nelayan yang mengibar bendera Vietnam itu juga didapati tidak memiliki sebarang kebenaran untuk menangkap ikan di perairan negara ini.
“Selain bot yang dinaiki mereka, peralatan menangkap ikan, alat navigasi, 5,200 liter minyak diesel dan satu tan pelbagai jenis ikan dengan anggaran keseluruhan bernilai RM1.53
juta turut dirampas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat APMM Kelantan, Tok Bali di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Syed Nor Adli memberitahu, KM Amanah mengambil masa 27 jam untuk mengiringi bot tahanan ke Jeti APMM sebelum tiba kira-kira pukul 2.30 petang pada Khamis lalu.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985, Seksyen 16(3) akta yang sama dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE