fbpx

Waspada scam iklan pembantu rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Berhati-hati dengan pelbagai iklan yang ditawarkan di media sosial untuk mengelak daripada diperdaya kumpulan yang tidak bertanggungjawab. - Gambar hiasan

PETALING JAYA – Sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan laman web palsu yang menyamar sebagai syarikat yang sah. Modus operandi ini bertujuan untuk memperoleh maklumat perbankan dengan cara penipuan.

Laman-laman web berkenaan akan cuba menggesa pengguna supaya memuat turun aplikasi perkhidmatan palsu, yang ternyata kelihatan seperti tidak mencurigakan pada awalnya.

Tatkala pengguna ingin membuat pembayaran untuk tawaran perkhidmatan palsu, pengguna akan dihalakan ke halaman pembayaran pertukaran proses kewangan (FPX) palsu dan dipaparkan dengan pelbagai pilihan pembayaran.

Selepas memasukkan maklumat serta butiran perbankan mereka, mesej ralat akan tertera dan memaklumkan bahawa maklumat identifikasi pengguna atau kata laluan yang dimasukkan adalah tidak sah.

Tanpa disedari, maklumat perbankan pengguna telah dicuri oleh penipu.

Maklumat perbankan pengguna berisiko dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab sekiranya masyarakat tidak peka. – Gambar hiasan

Kes penipuan pembantu rumah

Situasi ini telah dialami oleh seorang pengguna yang terjumpa iklan dalam talian yang menawarkan perkhidmatan pembantu rumah segera.

Tertarik dengan tawaran berkenaan, pengguna ini kemudian diarahkan untuk memuat turun aplikasi Android ke dalam perantinya dengan andaian bahawa langkah tersebut adalah perlu untuk menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Pada langkah terakhir, pengguna dihalakan ke halaman pembayaran FPX dan diminta memasukkan ID CIMB Clicks mereka serta kata laluan. Laman web berkenaan kemudiannya memaparkan mesej ralat yang memaklumkan bahawa ID pengguna atau kata laluannya adalah tidak sah.

Pengguna langsung tidak menyedari bahawa tindakannya telah mendedahkan maklumat perbankannya kepada penipu.

Sejurus selepas itu, terdapat dua percubaan transaksi berjumlah melebihi RM5,000 daripada akaun pengguna itu.

Dalam kes ini, pengguna bernasib baik kerana penganalisis penipuan CIMB telah berjaya mengesan transaksi tersebut sebagai mencurigakan dan segera menangguhkannya.

Pasukan penganalisis penipuan CIMB mengesyaki bahawa pengguna itu mungkin telah menjadi mangsa scam dan pantas menghubunginya untuk mendapatkan butiran lanjut. Selepas mengesahkan situasi yang dialami, transaksi tersebut dibatalkan dengan segera.

Tindakan pantas dan cekap yang diambil oleh pasukan penganalisis penipuan CIMB telah berjaya menghalang pengguna berkenaan daripada kehilangan sejumlah besar wang miliknya, hanya dengan satu klik.

Awas, Fikir, Blok.

Tiga taktik scam yang terkenal ketika musim perayaan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini adalah iklan khidmat pembersihan rumah, scammer menyamar sebagai pegawai Lembaga Zakat dan promosi baju raya murah.

Berdepan dengan cabaran scam yang berleluasa, industri perbankan yang diwakili oleh Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) telah mengetengahkan tiga langkah mudah, yang juga dikenali sebagai peraturan tiga saat iaitu Awas, Fikir dan Blok.

Pengguna disarankan agar mengamalkan peraturan ini apabila menerima sebarang panggilan, mesej atau e-mel daripada pihak yang tidak dikenali.

Sewaktu menggunakan internet, pengguna juga perlu berwaspada dengan menentukan bahawa laman web yang dilayari adalah selamat dan memastikan alamat URL laman berkenaan bermula dengan https://.

Lebih-lebih lagi apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengesan salah satu helah penipu ialah menghala pengguna melayari pautan laman web palsu.

Menurut MCMC, walaupun paparannya hampir sama, alamat URL pada laman tersebut mempunyai perbezaan dan variasi dari segi nama, huruf, serta ejaan.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya berhati-hati apabila klik pada iklan dalam talian serta mengelak daripada memuat turun aplikasi secara bersahaja. Aplikasi yang diperlukan seharusnya dimuat turun melalui platform yang sah sahaja.

Sekiranya penipuan berlaku, anda dinasihatkan untuk mengambil langkah berikut:

  • Aktifikan fungsi Lock Clicks ID pada Aplikasi CIMB Clicks / CIMB OCTO untuk membekukan ID CIMB Clicks dengan serta-merta sekiranya mengesan sebarang aktiviti yang luar biasa, transaksi mencurigakan atau mengesyaki bahawa akaun perbankan telah dikompromi.
  • Maklumkan pihak bank dengan menghubungi nombor telefon Pusat Panggilan Pengguna CIMB yang tertera di balakang kad anda di talian +603-6204 7788.
  • Minta bank untuk menggantung akaun anda buat sementara waktu atau menyahaktifkan akaun anda.
  • Segera membuat laporan polis untuk memudahkan siasatan. Anda juga boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997.
  • Pastikan anda menyimpan semua dokumentasi dan butiran yang diperlukan tentang penipuan yang disyaki sebagai bukti.
  • Setelah memperoleh akses kepada akaun CIMB Clicks anda, segera tukar kata laluan dan/atau PIN sebagai langkah berjaga-jaga.
  • Orang ramai juga dinasihatkan supaya hanya memuat turun aplikasi CIMB Clicks atau CIMB OCTO daripada stor aplikasi yang sah seperti Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery dan tidak sekali-kali daripada sambungan atau sumber yang tidak sah.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI