BANGKOK – Seorang wanita terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan pangsapuri di wilayah Chon Buri dan mendarat di atas pokok pisang, lapor laman berita Thaiger.
Kejadian berlaku di Soi Chaiyaporn Withee 7, dekat daerah Bang Lamung sekitar pukul 12.20 tengah malam (waktu tempatan) semalam.
Penduduk kampung dan pemilik pangsapuri segera melaporkan kejadian kepada pusat penyelamat tempatan di Pattaya, manakala ambulans dihantar ke lokasi kejadian.
Anggota penyelamat yang tiba di pangsapuri lima tingkat itu menemui wanita berusia 24 tahun dipanggil B itu terbaring di sebelah pokok pisang yang patah.
Mangsa mengalami beberapa kecederaan termasuk pada kaki, lengan dan dada di samping hilang ingatan buat sementara. Mereka kemudian membawanya ke hospital.
Pemilik pangsapuri memberitahu, dia terdengar bunyi jeritan meminta tolong berhampiran pokok pisang sebelum menghubungi perkhidmatan kecemasan.
Punca wanita itu terjatuh masih tidak diketahui. Bagaimanapun, penduduk mendakwa mangsa mungkin cedera lebih teruk jika tidak mendarat di atas pokok pisang itu. – Agensi