fbpx

Tuah Joan dalam bidang hartanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JOAN kini berjaya membina kerjaya dalam bidang hartanah setelah meninggalkan profesion sebagai pramugari.

RUTIN harian Joan Lee sebelum ini banyak dihabiskan dalam pesawat memandangkan dia berkhidmat sebagai pramugari di Malaysia Airlines.

Sehinggalah pada satu hari, semangat wanita berusia 38 tahun itu untuk bertugas di awan biru direntap apabila mengalami kesakitan teruk pada bahagian perut sebelum disahkan mempunyai cyst (ketumbuhan).

Rentetan itu, Joan terpaksa menjalani satu pembedahan kecil bagi membuangnya dan terpaksa bercuti rehat selama sebulan untuk memastikan dia pulih sepenuhnya.

Sewaktu tempoh bercuti, Joan mula terfikir untuk memiliki sebuah rumah impian di ibu kota. Disebabkan itu, dia bertemu dengan rakannya yang juga seorang ejen hartanah.

Semasa pertemuan tersebut, wanita berasal dari Segamat, Johor itu tertarik dengan kerjaya rakannya sebagai ejen hartanah.

Ini memandangkan, dalam tempoh 30 minit, dia sudah mampu menjual sebuah rumah.

“Saya telah berkhidmat sebagai pramugari selama 10 tahun. Pada tahun 2014, saya ada buat pembedahan. Ketika itu, baru saya ada masa untuk fikir memiliki rumah sendiri. Sebelum itu, masa saya banyak dihabiskan untuk kerja.

“Sewaktu berjumpa ejen hartanah, saya tertarik dengan kerjaya tersebut. Saya tengok kerja itu macam mudah. Dalam tempoh 30 minit, dia sudah mampu yakinkan saya untuk beli rumah,” katanya kepada Usahanita.

Disebabkan itu, Joan mengambil keputusan untuk menjadi ejen hartanah secara sambilan. Ketika waktu lapang, dia menghabiskan masa menghadiri kelas untuk belajar mengenai hartanah.

Sebelum ini Joan merupakan seorang pramugari.

Dalam masa tiga bulan menjadi ejen hartanah secara sambilan, Joan berjaya menjual 14 unit rumah di tengah ibu kota.

“Dalam tempoh singkat saya mampu jual banyak rumah. Saya fikir, kalau saya buat sepenuh masa, mungkin lagi banyak rumah saya boleh jual.

“Jadi, saya ambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai pramugari dan berkhidmat sebagai ejen hartanah secara sepenuh masa.

“Terus-terang saya cakap, saya ‘terjun’ dalam bidang ini dengan hanya berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jadi, saya terpaksa belajar sendiri dengan membaca secara online,” ujarnya yang memiliki hobi bermain golf.

Ternyata keputusan yang diambil oleh Joan tepat apabila dia berjaya meraih pendapatan lumayan, selain mampu membuka sebuah syarikat hartanah sendiri iaitu Regal Global pada 2019.

Kini, syarikatnya mempunyai seramai 80 petugas yang merangkumi ejen hartanah dan petugas yang menyelia sebuah kediaman mewah di tengah-tengah Kuala Lumpur.

“Sebelum Regal Global ini wujud, saya bersama rakan ada sebuah syarikat hartanah. Namun, saya terpaksa keluar dari syarikat itu untuk mempelbagaikan sasaran pelanggan.

“Syarikat rakan saya menyasarkan pelanggan dari Eropah, manakala saya memberi tumpuan kepada pembeli dari Asia Timur dan Asia Barat,” ujar wanita yang masih belum berumah tangga itu.

Kejayaan yang dikecapi Joan kini tidak dapat sekelip mata, sebaliknya dia terpaksa melalui pelbagai cabaran terutamanya berkaitan kerenah para pembeli.

“Kerjaya ini hari-hari ada cabaran. Jadi, saya perlu kuat semangat kerana ada ketikanya kita akan rasa ‘down’ terutama apabila sasaran pembeli tidak jadi beli.

“Pernah sekali, saya ditipu oleh pembeli yang menyatakan hasrat untuk membeli sebuah hotel. Malangnya, dia membayarnya dengan cek palsu bernilai RM6.6 juta,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI