PETALING JAYA – Hari ini pendakwah terkenal, Ustaz Ahmad Dusuki Abd. Rani pula dibatalkan kuliahnya, selepas Ustaz Azhar Idrus, semalam.
Beliau yang turut dikenali sebagai UAD memaklumkan di Facebook miliknya bahawa kuliahnya terpaksa dibatalkan di atas arahan pihak tertentu.
“Dukacita dimaklumkan bahawa kuliah maghrib UAD yang akan diadakan di Masjid Datok Andak Serkam Pantai, Melaka pada malam ini, 14 Julai 2023 terpaksa dibatalkan atas arahan pihak tertentu.
“Mohon maaf kepada penduduk negeri Melaka kerana tidak dapat menyampaikan kuliah di tempat anda,” katanya.
Kosmo! online semalam melaporkan, kuliah maghrib perdana Ustaz Azhar di Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini terpaksa dibatalkan.
Perkara itu dimaklumkan menerusi akaun Instagram @uaioriginal yang menjelaskan pembatalan itu adalah kerana atas arahan pihak tertentu. – KOSMO! ONLINE