DALAM kehidupan, boleh dikatakan setiap hari kita melakukan pergerakan berulang dengan tangan seperti menggunakan papan kekunci, tetikus, meluncur skrin telefon, membuat kerja rumah dan lain-lain lagi.
Sebenarnya, aktiviti pergerakan berulang itu boleh menyumbang kepada risiko kesihatan tersembunyi.
Aktiviti-aktiviti ini boleh membawa kepada penyakit seperti carpal tunnel syndrome atau sindrom terowong carpal yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur.
Oleh itu, adalah penting untuk mengambil tahu punca penyakit ini dan tahu cara untuk menghindarinya supaya orang ramai lebih sedar bagaimana aktiviti harian mereka yang kelihatan tidak berbahaya sebenarnya boleh menghasilkan kesan sedemikian.
Masalah ini terjadi apabila saraf median yang terletak di dalam terowong carpal, satu laluan sempit dari bahagian lengan ke bahagian tapak tangan menjadi terhimpit.
Antara gejala sindrom ini termasuk lemah tangan untuk menggenggam objek serta rasa sakit dan kebas.
Walaupun terdapat beberapa faktor risiko yang boleh menyumbang kepada berlakunya penyakit ini, ia sering dicetuskan oleh pergerakan tangan berulang yang kerap berlaku.
Pakar Perunding Ortopedik, Trauma dan Pakar Pembedahan Sukan dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr. Raymond Yeak Dieu Kiat berkata, berdasarkan pemerhatian epidemiologi ini menunjukkan kaitan ketara di antara sindrom ini dengan aktiviti harian yang dilakukan.
Menurutnya, antara faktor lain termasuk penyakit sendi atau tulang, perubahan hormon atau metabolik dan paras gula dalam darah yang tidak menentu turut boleh menyumbang kepada berlakunya sindrom carpal tunnel.
“Individu yang pernah alami kecederaan pada pergelangan tangan, terseliuh, terkehel atau sebarang keradangan sebelum ini lebih terdedah untuk mendapat sindrom carpal tunnel,” katanya.
Satu lagi fakta menarik ialah penyakit ini juga cenderung untuk memberi kesan kepada wanita lebih daripada lelaki dengan kehamilan menjadi faktor penyebab yang ketara.
Pakar Perunding Pembedahan Ortopedik, Trauma dan Pediatrik di SMCV, Dr. Maria Shelynn Wong menekankan bahawa walaupun kira-kira empat peratus daripada golongan dewasa terkesan oleh sindrom carpal tunnel, kelaziman simptom dalam kalangan wanita hamil dianggarkan sebanyak 31 hingga 62 peratus.
Menurutnya, semasa hamil, setiap ibu mengalami peningkatan jumlah darah sebanyak dua kali ganda.
“Justeru, lebihan darah ini akan tingkatkan tekanan dan menyebabkan pembengkakan pada saluran darah di seluruh badan mereka. Akibatnya, pembengkakan ini boleh memampatkan saraf median pada pergelangan tangan lalu berpotensi mengakibatkan sindrom carpal tunnel,” jelas Dr. Maria.
Katanya, sindrom carpal tunnel biasanya berkurangan selepas si ibu melahirkan kerana paras cecair darah akan kembali normal dan kurangkan tekanan tambahan pada saluran darah.
Oleh itu, ibu hamil dinasihatkan untuk berjumpa doktor sekiranya masih mengalami sebarang simptom sindrom carpal tunnel pada tangan mereka.
Mendapatkan konsultasi daripada pakar perubatan membolehkan para ibu lebih memahami dan membuat keputusan terbaik untuk kesihatan mereka, selain memberikan ketenangan kepada ibu semasa proses kehamilan yang sememangnya sudah mencabar.
Individu yang deritai sindrom carpal tunnel juga mungkin hadapi satu lagi penyakit bukan traumatik dialami ramai yang dikenali sebagai trigger finger.
Secara saintifiknya, penyakit ini dirujuk sebagai stenosing tenosynovitis pada tendon fleksor dan terjadi apabila satu atau lebih jari alami kekejangan dan sensasi terkunci (locking or catching) ketika membengkok dan meluruskan jari tangan, lalu menyebabkan kesakitan dan ketegangan.
Jelas Dr. Maria, salah satu punca utama sindrom trigger finger adalah aktiviti-aktiviti berulang seperti memulas, memicit, menggenggam atau aktiviti tangan lain yang kuat.
“Sama seperti sindrom carpal tunnel, wanita hamil juga berisiko mendapat trigger finger akibat pengekalan cecair (water retention) dan pembengkakan semasa hamil,” kata Dr. Maria.
Tambahnya, golongan lain yang terdedah kepada trigger finger ialah suri rumah.
Ini kerana, cengkaman dan genggaman berulang kali pada peralatan dapur dan alat pembersih rumah boleh menyumbang penyakit ini.
Namun, kata Dr. Maria, terdapat langkah-langkah pencegahan dan pilihan rawatan tersedia yang dapat membantu pesakit kedua-dua sindrom ini menanganinya.