PARIS – Gergasi Perancis, Paris Saint-Germain semakin serius untuk menjadi ‘pengacau’ kepada Bayern Munich apabila turut serta dalam perebutan untuk mendapatkan khidmat penyerang England, Harry Kane.
Menurut laporan di Perancis, walaupun gagal mendapat persetujuan pada rundingan beberapa minggu lalu, juara Perancis itu dijangka akan mengadakan pertemuan sekali lagi bagi meyakinkan Kane untuk berpindah ke Paris.
Khabar ini pastinya menimbulkan situasi kurang senang buat Bayern selepas Tottenham Hotspurs belum lagi membuat sebarang keputusan mengenai bidaan kedua yang mereka lakukan selepas tawaran pertama ditolak.
Laporan juga menyebut PSG bersedia untuk membuat tawaran bernilai £85.5 juta (RM516.8 juta) yang mereka rasakan cukup untuk meyakinkan Spurs bagi melepaskan bintangnya itu.
Pengurus Spurs, Ange Postecoglou juga tanpa berselindung mengakui sudah bersedia untuk membina pasukan itu tanpa Kane dan enggan membuat sebarang janji berhubung masa depan penyerang itu.
“Saya tidak ada sebarang jaminan dan saya tidak boleh harapkan apa-apa. Apa yang saya tahu buat masa sekarang Harry masih lagi sebahagian daripada pasukan dan kami tidak sabar untuk kembali bersaing,” katanya.
Mengikut perjanjian asal, kontrak Kane hanya berbaki setahun saja lagi dan Spurs kini berisiko hilang khidmatnya secara percuma jika terus menolak bidaan dibuat.
Selain Bayern Munich, Manchester United sebelum ini turut dikatakan mahu mendapatkan khidmat Kane. – AGENSI