KLANG – Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengumumkan calon pertama parti itu yang bakal menandingi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
M. Sivaranjani, 42, yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat PSM dan anak jati Klang itu disahkan akan merebut kerusi DUN Meru.
Beliau yang dikenali sebagai Jani berkata, dia terharu diberi kepercayaan menjadi calon pertama selepas lebih 15 tahun berkhidmat dengan parti tersebut dan fokus utamanya mahu hak pekerja dan pemerkasaan akar umbi.
“Berbekalkan pengalaman luas sebagai aktivis sosial, saya juga menumpukan isu banjir dan kemudahan infrastruktur di Meru, peluang pekerjaan serta gaji minimum pekerja kurang berkemampuan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Rakyat PSM Kapar di sini.-KOSMO!ONLINE