fbpx

Pengusaha stesen minyak didenda RM1,500 jual Panadol mahal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
OKS (kanan) membuat pembayaran denda berjumlah RM1,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Ayer Keroh, Melaka hari ini. Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!

MELAKA – Seorang pengusaha sebuah stesen minyak didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas didapati bersalah menjual Panadol Menstrual 10’s pada harga lebih mahal dari dipamerkan, Januari lalu.

Majistret Nabilah Nizam menetapkan denda tersebut selepas Orang Kena Saman (OKS), Mohd. Ashraf Mohd. Yusof, 33, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, OKS didapati telah memberi gambaran yang mengelirukan mengenai harga barangan Panadol Menstrual 10’s yang dipamerkan dengan harga RM5.40 yang mana berbeza daripada harga yang diimbas pada mesin pengimbas harga adalah RM7.20.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11.15 pagi di kedai serbaneka sebuah stesen minyak di Lebuh Ayer Keroh, Mukim Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah pada 5 Januari 2023.

Bagi kesalahan itu, OKS didakwa mengikut Seksyen 12(1)( b) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Terdahulu, OKS dalam rayuannya memohon agar denda minimum diberikan dengan alasan ia merupakan kesalahan pertamanya dan kesilapan tanda harga itu disebabkan kecuaian pekerjanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norhysam Mohd. Noor bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira kesalahan itu melibatkan produk kesihatan.

Setelah mendengar hujah kedua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau sebulan penjara jika gagal bayar dan barang kes dikembalikan kepada pihak pendakwaan untuk dilupuskan, OKS kemudian membayar denda tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI