fbpx

Mahkamah: Simbah asid dalam lif, warga emas dijel 12 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saira diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/ KOSMO!

SELAYANG – Seorang warga emas yang tular kerana menyimbah asid di lif sebuah pangsapuri minggu lalu, dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap lelaki warga Pakistan.

Majistret Chai Guan Hock menjatuhkan hukuman itu terhadap Saira Abdullah, 62, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhah yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu mula berjalan bermula dari tertuduh ditangkap pada 9 Julai lalu.

Saira yang juga mualaf didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan cecair kimia ke atas Inam Ullah, 37, di lif sebuah blok Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves di sini pukul 1.10 pagi pada 4 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Izleen Ismail memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan ke atas tertuduh.

“Sebelum ini, tertuduh mengalami kemurungan teruk dan pernah mendapatkan rawatan hospital. Dalam kejadian ini, tertuduh mendakwa dia diprovokasi oleh mangsa yang mahu berkawan walaupun mangsa sudah berkahwin.

“Tertuduh tidak boleh berfikir dengan betul dan mengambil tindakan sendiri (menyimbah cecair kimia) dan amat menyesali perbuatannya itu,” kata Izleen.

Mendengar rayuan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira keseriusan kes selain kecederaan yang dialami mangsa kerana menggunakan cecair kimia.

Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan anak tiri  Inam menerima panggilan menyatakan bapa tirinya disimbah cecair kimia di lokasi kejadian.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Selayang bagi mendapatkan rawatan. Pemeriksaan mendapati, Inam melecur tahap satu di bahu kanan dan belakang badan.

Sementara itu, dalam prosiding sama, Saira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama terhadap Jemilah Sabda, 60, yang juga isteri Inam pada tempat, waktu dan tarikh sama dan mengikut seksyen sama.

Bagi pertuduhan mencederakan Jemilah, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 12 September ini bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan pasangan suami isteri bekerja sebagai pengusaha roti nan cedera akibat disimbah asid ketika ingin menaiki lif bersama anak lelaki berusia 14 tahun.

Suspek mendatangi mangsa sebelum bertindak menyimbah cecair ke arah mangsa dari arah luar lif dan terus melarikan diri. Pasangan itu cedera di bahu, pipi dan mata serta belakang bahu.

Kejadian tersebut didakwa berunsurkan khianat dan tidak puas hati pihak lain ekoran seminggu sebelum kejadian, kedai makan mangsa turut hangus terbakar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI