KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 7 September ini bagi mendengar permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Ab Samad untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membela diri atas pertuduhan rasuah.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid ketika menetapkan tarikh itu turut mengarahkan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan memfailkan hujahan bertulis sebelum atau pada 4 Ogos ini dan hujahan balasan sebelum atau pada 18 Ogos.
Sebelum ini, hakim berkenaan menolak permohonan semakan pasangan suami isteri itu selepas membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan atas alasan permohonan difailkan menggunakan mod yang salah.
Terdahulu, peguam M. Athimulan yang mewakili Bung Moktar memohon masa selama tiga minggu untuk memfailkan hujahan bertulis.
Dalam prosiding berkenaan, pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Low Chin How dan Mohamad Fadhly Mohd. Zamry.
Prosiding bela diri pasangan suami isteri itu yang sepatutnya didengar selama sembilan hari bermula 10 Julai lalu, dilapangkan oleh Mahkamah Sesyen bagi membolehkan permohonan semakan itu diputuskan terlebih dahulu.- KOSMO! ONLINE