fbpx

Mahkamah: Jika tiada penyelesaian, bicara kes saman Mahathir, Ahmad Zahid kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Mahathir (kiri), Ahmad Zahid (kanan).

KUALA LUMPUR – Pihak-pihak dalam dua kes saman fitnah melibatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diminta memaklumkan jika terdapat penyelesaian di luar mahkamah sebelum perbicaraan masing-masing yang ditetapkan pada 11 September dan 6 November ini.

Peguam Dr. Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi memberitahu wakil media, setakat ini tiada sebarang perkembangan mengenai proses mediasi bagi penyelesaian luar mahkamah dalam kedua-dua kes saman tersebut.

Sehubungan itu, ujarnya, Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini yang dijadualkan didengar di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff.

“Jika terdapat sebarang perkembangan mengenai penyelesaian, kedua-dua belah pihak diarahkan untuk memaklumkan kepada mahkamah sebelum tarikh perbicaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pengurusan kes saman fitnah itu yang dijalankan melalui aplikasi Zoom hari ini yang turut disertai peguam Mohamad Sharul Fazli Kamarulzaman dan Intan Hanis Afiqah Razali.

Saman fitnah difailkan Dr. Mahathir terhadap Ahmad Zahid berhubung dakwaan bekas Perdana Menteri bahawa Ahmad Zahid mempersoalkan asal usulnya, akan didengar pada 11 September ini.

Sementara itu, saman fitnah dikemukakan Ahmad Zahid terhadap Dr. Mahathir berhubung dakwaan beliau menggunakan kedudukannya bagi mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk campur tangan dalam urusan perbicaraan kes jenayahnya, dijadual didengar pada 6 November.

Ahmad Zahid, 69, memfailkan saman fitnah terhadap Dr. Mahathir, 96, pada 20 April 2022. Dalam pernyataan tuntutannya, beliau berkata Dr. Mahathir memfitnahnya pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang (Pejuang) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 23 Februari 2022.

Kata Ahmad Zahid, Dr. Mahathir memfitnah bahawa beliau pernah hadir di rumahnya bersama beberapa individu lain bagi mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud bahawa beliau seorang yang menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan.

Kata Ahmad Zahid, ia juga bermaksud beliau menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Dr. Mahathir bagi mencampuri urusan perbicaraan jenayah dan mencampuri siasatan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan terhadapnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI