KOTA BHARU – Johor Darul Ta’zim (JDT) merakam kemenangan ke-17 berturut-turut selepas membelasah Kelantan FC 5-0 pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan skuad Harimau Selatan selaku pendahulu liga sekali gus mengesahkan status mereka sebagai kuasa utama arena bola sepak tempatan.
Kelantan FC yang dikendalikan oleh Alfredo Vera dilihat tetap memberi saingan apabila tidak memberi laluan mudah sehingga memaksa JDT bermandi peluh sebelum boleh merobek gawang The Red Warriors (TRW).
Gol pembukaan JDT hadir melalui rembatan kencang pemain penyerang, Fernando Forestieri dari luar kotak penalti yang melangkaui jangkauan penjaga gawang Kelantan FC, Muhammad Johan Shazidane Tendot pada minit kelapan.
Gol berkenaan dilihat memberi semangat kepada JDT untuk terus mengasak kem tuan rumah sebelum menggandakan jaringan pada minit ke-22 menerusi tandukan Oscar Arribas yang memanfaatkan hantaran lambung Juan Gallego.
Memasuki babak kedua perlawanan, Kelantan FC mempersembahkan aksi lebih menyakinkan apabila berjaya merantai setiap pergerakan Harimau Selatan.
Bagaimanapun, kealpaan benteng tuan rumah menyebabkan mereka dihukum dengan gol ketiga JDT menerusi jaringan Forestieri pada minit ke-60 disusuli gol keempat oleh Bergson Da Silva empat minit kemudian.
Ketika perlawanan memasuki minit ke-77, gawang Kelantan FC sekali lagi dirobek apabila Akhyar Rashid menjaringkan gol kelima yang sekali gus memuktamadkan kemenangan bergaya Harimau Selatan.
Keputusan itu menyaksikan JDT kukuh di kedudukan pertama manakala Kelantan FC terus berada di tangga tercorot saingan Liga Super. – KOSMO! ONLINE