PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa menzahirkan rasa simpati terhadap kematian seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, Dea Maisarah Baba di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Dr. Zaliha dalam satu kenyataan berkata, kejadian tersebut sedang dalam siasatan pihak berkuasa selain memohon kerjasama semua pihak untuk menghormati privasi keluarga.
“Bersama kita mendoakan agar roh Allahyarhamah aman dan berada dalam lindungan Yang Esa. Semoga keluarga Allahyarhamah tabah menghadapi ujian berat ini,” katanya di sini tadi.
Terdahulu, HTAR dalam maklum balas terhadap kes tersebut memberitahu, pihaknya akan menjalankan siasatan kematian kanak-kanak itu ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
Pengarah HTAR, Dr. Zulkarnain Mohd. Rawi berkata, kanak-kanak itu hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR bersama bapanya pada 9 Julai lalu.
Katanya, keadaan kanak-kanak berkenaan dalam keadaan lemah ketika berada di HTAR.
Pesakit berkenaan sudah diberikan rawatan yang sewajarnya termasuk oleh pakar perubatan kecemasan namun pesakit tidak dapat diselamatkan.
Jelasnya, punca kematian masih dalam siasatan Jabatan Perubatan Forensik HTAR.
Kes kematian kanak-kanak itu tular di media sosial termasuk dakwaan kanak-kanak terbabit lewat diberi rawatan sehingga terpaksa menunggu lebih 40 minit dalam keadaan sesak nafas. – KOSMO! ONLINE