KUALA LUMPUR – Tidak pernah duduk di kerusi juri tetap mana-mana pertandingan realiti, Datuk Sheila Majid mengakui enggan terikat dengan komitmen panjang membuatkannya terpaksa menolak banyak tawaran stesen televisyen.
Katanya, kesibukan memenuhi jadual persembahan, selain tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada empat anak yang sedang membesar menyukarkannya untuk mengaut semua undangan.
“Kebiasaan program seumpama itu berlangsung selama dua atau tiga bulan selain diadakan pada hujung minggu yang juga waktu saya bekerja memenuhi persembahan.
“Takkan kalau saya lari sekejap buat ‘show’ kena ada orang lain ambil alih tugas saya. Itu tak adil untuk produksi dan peserta, jadi lebih baik saya tolak secara baik,” katanya selepas majlis sambutan antara McDonald’s Malaysia dan Menara KL, malam tadi.
Pada acara yang menyaksikan McDonald’s Malaysia meraih pengiktirafan Malaysian Book of Records (MBOR) menerusi paparan ‘Kentang Goreng Tertinggi di Malaysia’ di Menara Kuala Lumpur (Menara KL), Sheila turut menghiburkan tetamu.
Penghibur kesayangan ramai itu memeriahkan majlis dengan mendendangkan tujuh lagu termasuk Dia serta Antara Anyer & Jakarta.
Menyentuh tentang budaya kecaman, Sheila, 57, berkata, perkara tersebut bukan kerisauannya kerana dia umpamanya sudah lali dengan semua itu sejak mula bertapak dalam industri.
“Kecaman netizen? Tidaklah. Saya pernah kena lebih teruk. Tapi mungkin kalau saya dah bersara nanti saya dapat penuhi jemputan jadi juri tetap.
“Siapa tahukan. Sekarang komitmen saya masih banyak. Biar saya sempurnakan satu persatu dulu,” ulasnya.
Sebelum ini, ramai pihak meminta stesen televisyen meletakkan penghibur berpengaruh itu duduk di kerusi juri berikutan pengalaman luasnya selain mempunyai ramai peminat di Indonesia dan luar negara.- KOSMO! ONLINE