PETALING JAYA – Seorang wanita berang apabila pertanyaan dalam ‘group’ atau kumpulan WhatsApp kelas anaknya tidak dibalas oleh guru.
Menurut tangkap layar tular di laman Facebook, wanita itu telah menghantar WhatsApp pada pukul 9.43 malam.
“Cikgu, saya nak tanya, buku Bahasa Melayu (BM) 1 dan BM 2 ada pada cikgu ke? Saya harap cikgu ada tangan untuk balas pertanyaan saya ini,” tulisnya.
Bagaimanapun, mesej wanita tersebut mendapat kecaman daripada ibu bapa lain yang turut berada dalam ‘group’ WhatsApp yang sama.
“Maaf kerana menegur, tapi perlu ke awak cakap macam tu? Mungkin cikgu ada benda lain hendak dibuat,” kata seorang pengguna.
Namun, wanita tersebut menegaskan bahawa tindakannya itu bukan untuk bersikap kurang ajar. Tetapi, dia sudah tidak tahan kerana pertanyaannya sering diabaikan oleh guru.
“Kalau cikgu ada benda lain hendak dibuat, saya pun sama juga. Bukan sekali dua saya tanya dalam ‘group’ ini,” katanya.
Menurut tangkap layar sama, guru akhirnya membalas pertanyaan wanita tersebut pada pukul 9.53 malam.
“Apa ya masalah puan ni? Ini waktu rehat saya, perlukah saya layan benda yang remeh begini?” Tulis guru tersebut.
“Remeh cikgu cakap? Baiklah kalau macam itu. Saya malas nak panjangkan cerita dekat sini. Kalau anak saya tak ada buku, harap cikgu tak marah anak saya di sekolah esok,” balas wanita tersebut.
Kini, hantaran tersebut telah menerima 187 tanda suka dan 121 komen. – KOSMO! ONLINE